Petugas perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini.
Petugas perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini.
minda

Rasa hendak bagi penampar je melihat seorang Mamat ni ketika dia masuk ke dalam kantin untuk sarapan. Apa tidaknya, sudahlah dia antivaksin dan bekerja di jabatan kami, masuk ke kantin pula sesuka hati dia saja.

Kami pula bersama rakan seakan-akan menjauhkan diri daripadanya bukan kerana dia ada simptom Covid-19, tetapi tidak mahu cucuk vaksin (antivaksin).

Perasaan takut dan cemas sesama kami berlegar di fikiran takut-takut dia yang antivaksin akan menyebar gejala Covid-19.

Perasaan sebegini sering bermain di fikiran kami yang bekerja di bawah satu jabatan dalam satu bangunan apabila berkongsi tempat kerja dan kemudahan lain disediakan.

Mamat ini pula dengan muka tak bersalah dan selamba duduk di mana-mana tempat yang dia suka, berbual dengan kami yang sudah divaksin serta lengkap dos penggalak.

Pening memikirkan segelintir individu antivaksin dan tidak mahu menerima vaksin. Banyak persoalan dan perdebatan di kedai kopi atau pejabat mempersoal serta menceritakan perkara ini.

Kadang-kadang, perdebatan dan pembincangan mengenainya berlaku di pejabat. Ia semacam ada permusuhan antara penerima vaksin dengan golongan tidak mahu mengambil vaksin.

Kenapa ini terjadi, sedangkan kerajaan berusaha keras memastikan rakyat menerima vaksin tanpa mengira jenisnya untuk menyekat Covid-19.

Apa masalahnya golongan atau kumpulan antivaksin dan apakah alasan mereka bagi menyedapkan diri sendiri, sedangkan kerajaan serta masyarakat berdepan dengan situasi atau fenomena bahaya pada saat getir sebegini.

Vaksin adalah sejenis agen bertindak untuk merangsang sistem pertahanan badan bagi melawan bakteria atau virus yang menyerang manusia. Vaksin diperbuat dalam makmal yang terkawal rapi kebersihannya. Vaksin adalah sejenis bahan diperbuat daripada agen bakteria yang dimatikan (killed), dilemahkan fungsi bahaya mereka atau bahan menyerupai toksin yang tidak berbahaya.

Terdapat banyak penyakit berjangkit boleh menyebabkan kecacatan mahupun kematian dalam kalangan kita. Dengan adanya teknologi, vaksin dicipta. Suntikan vaksin ini diberi nama imunisasi.

Imunisasi adalah cara paling efektif dalam mencegah dan mengurangkan penyakit berjangkit. Semua individu dan anggota masyarakat berhak mendapat imunisasi lengkap.

Kepentingan imunisasi memberi faedah kepada kita kerana dapat mengelak daripada dijangkiti penyakit berjangkit serius seperti tuberculosis, polio, campak dan sebagainya.

Penyakit ini boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian. Kebanyakan penyakit berjangkit ini tidak mempunyai rawatan khusus dan boleh mengakibatkan kesan sampingan dan komplikasi teruk atau kekal.

Malah, imunisasi dapat mengelak kesengsaraan sejak zaman kanak–kanak hingga dewasa.

Dalam penulisan kali ini, kita akan melihat alasan diberikan sama ada ia berkisar kepada masalah peribadi atau sengaja tidak mahu menerima suntikan vaksin atas sebab tidak mahu menerima kesan vaksin itu.

Dalam erti kata lain, tidak mahu mati cepat kerana sering kali digembar-gemburkan bahawa penerima vaksin akan menghadapi kesan jangka panjang termasuk kemungkinan menghadapi kematian.

Hebat alasan golongan antivaksin yang memang menjurus kepada keuntungan alasan mereka sahaja sedangkan mereka tidak tahu kerajaan benar-benar mahu menghapuskan Covid-19 dalam kalangan masyarakat dengan memastikan semua orang menerima vaksin.

Antara alasan diberikan golongan antivaksin termasuk alasan tidak masuk akal seperti 'tidak cucuk (suntik) vaksin pun tidak mati sebab tidak pergi ke mana dan takut jarum suntikan'.

Penolakan vaksinasi didapati mencerminkan pelbagai faktor termasuk gaya hidup keluarga, persepsi tentang badan kanak-kanak dan sistem imun, dirasakan risiko penyakit, keberkesanan vaksin, kesan sampingan, pengalaman negatif terdahulu dengan vaksinasi dan persekitaran sosial.

Peningkatan golongan antivaksin termasuk menghalang pemberian imunisasi kepada anak antara punca kemunculan semula penyakit cegahan vaksin ini.

Antara sebab golongan itu menolak vaksin kononnya ia agenda Yahudi untuk menghancurkan umat Islam sedangkan Israel sendiri memberi imunisasi kepada rakyatnya.

Selain itu, dakwaan kandungan di dalam vaksin itu diragui halal sudah dijawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa vaksin digunakan di Malaysia adalah halal.

Malah, hujah golongan antivaksin yang mengatakan imunisasi boleh menyebabkan kesan sampingan seperti autisme sudah dipatahkan apabila kajian menjadi rujukan mereka itu sebenarnya tidak benar. Jelas, penerangan dan bukti (practice based evidence) perlu didedahkan kepada golongan antivaksin ini.

Beberapa kontroversi imunisasi ditimbulkan pihak tertentu berkaitan pemberian vaksin. Antaranya, ada yang mengaitkan vaksin campak, beguk dan rubella, measles, mumps dengan kejadian autisme.

Kenyataan Wakefield dalam beberapa jurnal mengubah persepsi masyarakat secara mendadak. Namun, satu kajian besar-besaran dijalankan antara 1999 hingga 2007.

Kajian ini mendapati teori Wakefield adalah tidak benar. Bukti saintifik tidak dapat mengaitkan autisme dengan pemberian vaksin ke atas bayi.

Teori Wakefield turut disangkal penyelidik DE Stefano F apabila beliau membuktikan tiada kajian kukuh mengaitkan vaksin ini dengan autisme.

Sesetengah ahli agama berhujah dengan mengharamkan pemberian vaksin ini kepada anak mereka. Alasan utama adalah kaedah pembuatan vaksin bersumberkan bahan haram.

Ramai menolak vaksin kerana tidak mahu benda asing memasuki tubuh suci mereka dan hanya pasrah dengan sistem pertahanan semula jadi. Malah ramai berpendapat ubat-ubatan herba boleh meningkatkan sistem pertahanan badan.

Ia dikukuhkan dengan beberapa testimoni syarikat jualan herba tertentu yang menentang vaksin. Fenomena ibu bapa enggan memberikan suntikan vaksin kepada anak mereka amat membimbangkan.

Perbuatan ini bukan sahaja membahayakan anak, tetapi boleh menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit berbahaya itu.

Jadi tunggu apa lagi, jom dapatkan vaksin dan dos penggalak demi melahirkan imuniti berkelompok dalam masyarakat serta negara.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 7:00 AM