PERBUATAN keji adalah punca utama kecelaruan rohani dan boleh membawa kepada masalah jasmani.
PERBUATAN keji adalah punca utama kecelaruan rohani dan boleh membawa kepada masalah jasmani.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

AGAMA Islam sangat menganjurkan umatnya menjaga kesihatan sama jasmani dan rohani. Malah, penjagaan kesihatan sebelum ditimpa penyakit adalah sangat dianjurkan sebagaimana pepatah menyebut, mencegah lebih baik daripada merawat.

Menghadapi era baharu dalam menghadapi wabak Covid-19 ini ialah fasa endemik sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri bermula bulan hadapan.

Walaupun banyak kelonggaran yang akan diberikan, ia bukanlah lesen untuk kita bebas tanpa ada langkah pencegahan. Penjagaan kesihatan secara menyeluruh hendaklah diteruskan kerana kita bukan sahaja mendepani wabak Covid-19 secara khusus. Bahkan, kita sebagai manusia pasti terdedah kepada banyak penyakit lain yang tidak diketahui.

Dalam konteks penyakit rohani secara khusus, Allah SWT menegaskan dalam al-Quran berkaitan ubat dan penawar bagi penyakit berkaitan batin (rohani). Firman-Nya yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Yunus, ayat 57)

Asal kejadian manusia dijadikan sempurna, bersih dan terhindar daripada masalah atau penyakit.

Justeru, Allah SWT memberikan peluang manusia berusaha mengekalkannya. Jika dijaga dan dipelihara dengan baik maka tetap baiklah kejadiannya. Namun, jika dibiarkan ternoda dengan perkara tidak baik pasti akan merosakkannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)." (Surah al-Syams, ayat 7-10)

Dalam menghindari perkara yang tidak baik, Allah SWT melarang melakukan beberapa perlakuan yang boleh mendatangkan kemudaratan. Umpamanya, dilarang mendatangi (bersetubuh) dengan perempuan (isteri) semasa dalam keadaan haid. Di samping menjauhi larangan Allah, larangan ini juga mempunyai alasan saintifik dan berfakta.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat." Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Allah SWT menganjurkan langkah pencegahan daripada masalah berkaitan jasmani dan rohani melalui perintah-Nya khasnya ibadat solat dan puasa di bulan Ramadan. Melalui ibadat solat Allah SWT menegaskan bahawa ia mencegah mungkar. Seorang yang khusyuk solatnya pasti menjaga dirinya daripada melakukan perbuatan keji.

Manakala, perbuatan keji adalah punca utama kecelaruan rohani dan boleh membawa kepada masalah jasmani.

Kita dapati dalam masyarakat mereka yang meninggalkan solat akhirnya terjerumus kepada lembah kehinaan seperti perzinaan, pembunuhan, mencuri dan lain-lain. Apabila terpalit dengan perbuatan buruk seperti itu, pastinya akan mengundang kesusahan hidup seperti masalah kewangan, pergaduhan, terlibat dengan kecelakaan dan sebagainya yang membawa kepada kecacatan dan masalah kesihatan yang kronik lantaran kesempitan dan tekanan hidup kerana melanggar perintah Allah dan peraturan hidup.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Begitu juga dengan ibadat lain seperti berpuasa pada bulan Ramadan. Amalan puasa bukan sahaja sebagai mentaati perintah Allah, namun ada rahsia besar di sebalik kefarduannya. Antara hikmah besar ialah manfaat kesihatan yang tidak terkira kepada seorang yang berpuasa. Proses yang berlaku pada tubuh manusia semasa berpuasa sangat besar kesannya kepada kesihatan manusia. Di samping itu, baginda Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa orang berpuasa diampunkan dosanya dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan harapan mendapat ganjaran semata-mata daripada Allah SWT, nescaya diampunkan dosanya oleh Allah." (Riwayat Bukhari)

Ketika berpuasa juga seseorang menjaga perilaku zahir dan batin. Dengan menghindari perbuatan keji dan melakukan perbuatan baik seseorang itu telah mengembalikan kepada fitrah. Seterusnya akan membuang segala penyakit (rohani dan jasmani) daripada dirinya. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan Dia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka." (Surah al-A'raf, ayat 157)

Langkah pencegahan penyakit khususnya yang berjangkit adalah tuntutan agama. Oleh itu, kita mesti mengutamakan kesihatan dan yakin Allah SWT tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 5:59 AM