KEADAAN mangsa banjir di Taman Sri Muda yang terjejas banjir.
KEADAAN mangsa banjir di Taman Sri Muda yang terjejas banjir.
Bangkit Usahawan bersama Azizan Osman

Baru-baru ini, dalam sesi khas tahun baharu 2022, saya mendoakan mudah-mudahan Malaysia dijauhkan daripada bencana, dilindungi dan selamat dalam berdepan ujian ini. Moga Allah pelihara dan beri kekuatan kepada kita semua.

Saya juga nak ucapkan takziah kepada semua yang terkesan musibah banjir membabitkan beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang, Melaka, Perak, Johor dan Kelantan dari 18 Disember hingga baru-baru ini.

Alhamdulillah, RichWorks melalui Pertubuhan Kebajikan RichWell (RichWell) dapat mengumpul dana hampir RM1 juta sejak Jun tahun lalu di bawah kempen #RichWellBantu dengan menyalurkan sumbangan kepada keluarga memerlukan ekoran pandemik dan mangsa banjir.

Dalam tempoh 24 jam, kami dapat kumpulkan RM500,000 hasil sumbangan usahawan kami bersama RichWorks sendiri agar sikit sebanyak dapat ringankan beban mangsa banjir yang terkesan bukan saja dari segi mental dan fizikal, malah kewangan.

Kami faham perasaan mereka terkesan apatah lagi bila RichWorks bersama 42 staf juga berdepan detik cemas ketika pejabat dan kenderaan mereka ditenggelami air pada 18 Disember lalu hingga terkandas semalaman.

Malah, sebelum ini dan ketika ini pun kita masih berdepan pandemik Covid-19, ditambah varian baharu, Omicron dan Fluorona (gabungan Covid-19 dan influenza) yang baru dikesan.

Saya percaya setiap ujian diberi ini, cara hapuskan dosa kita dan gantikan sesuatu yang lebih baik lagi, insya-Allah.

   

Syukur

Syukur, inilah satu perkataan bagi saya sangat penting yang perlu kita ungkapkan setiap hari termasuk pada tahun baharu ini.

Sekiranya kita masih lagi bernafas, dapat bangun dari tidur untuk mulakan hari baru, bersyukurlah.

Apatah lagi, bagi bisnes yang masih bertahan dan lagi-lagi menyaksikan peningkatan pada tahun lalu.

Bersyukurlah juga kita masih ada kesempatan, dapat berubah dan adaptasi dengan situasi ketika ini agar dapat membawa bisnes ke tahap yang lebih tinggi.

   

Cabaran bisnes

Tahun ini, akan ada banyak cabaran baru. Kita akan berdepan banyak ketidakpastian pada 2022.

Umpama sebuah kapal yang berlayar di lautan luas, di mana arah angin, ribut badai berlaku yang menjadikan persoalan besar untuk kita terutama bangsa usahawan, macam mana hendak menguruskannya?

Dalam bisnes akan ada perubahan, bila lagi banyak cabaran, maka lagi banyak perubahan perlu dilakukan.

Maka anda semua kena bersedia dengan perubahan pada 2022. Cabaran paling besar adalah bagaimana nak urus emosi anda!

Sebenarnya, kunci adalah macam mana kita melihat cabaran atau masalah itu. Lihat dan cari penyelesaiannya.

   

Hala tuju bisnes 2022

Semua yang membina bisnes berjaya ada mentor mereka, sama seperti pemain badminton dunia bersama jurulatih mereka.

Tapi maafkan saya, bukan semua orang boleh bina bisnes berjaya dan ia bukannya berlaku secara tidak sengaja!

Berikut saya kongsikan tiga kelebihan usahawan berjaya ini:

1. Ada bimbingan yang baik. Umpama nak pergi ke sesuatu destinasi dengan adanya Waze.

2. Ada ilmu dan strategi yang ke hadapan. Boleh diguna pakai bagi disesuaikan mengikut situasi semasa.

3. Mereka faham bagaimana game bisnes masing-masing. Tahu apa perlu dilakukan bila berlaku sebegitu dan fokus mengikut keutamaan bisnes.

Kesimpulannya, bangsa usahawan yang mahukan 2022 yang lebih baik perlu ada tiga kelebihan di atas ini selain tiga lagi aspek ini yang perlu ada iaitu menguatkan kepimpinan anda, pasukan yang kuat dan jangan suka-suka tukar hala tuju anda dengan fokus apa benda betul dibuat serta lakukan 10 kali ganda lagi.

Inilah cara yang perlu anda lakukan pada 2022 ini. Saya juga doakan moga anda, bangsa usahawan dan seluruh rakyat Malaysia akan dapat bangkit dan keadaan bertambah baik lagi.

Ingatlah, setiap kesusahan pasti ada kesenangan.

Seperti dinyatakan dalam Surah Al-Insyirah, ayat 5-6 yang bermaksud: "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."

RichWorks bantu mangsa banjir bangkit semula

RADZ Mohd
RADZ Mohd

RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) menawarkan khidmat nasihat kepada mangsa banjir terutama usahawan yang terjejas di beberapa negeri baru-baru ini.

Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks Radz Mohd berkata, bencana berkenaan pastinya menjejaskan kehidupan mangsa selain menambahkan lagi kesusahan buat mereka ekoran pandemik.

Katanya, keadaan ekonomi negara baru hendak pulih namun sebahagian daripada kita diuji pula dengan banjir yang pastinya beri kesan kepada mental dan fizikal.

"Kami faham dan mengetahui perasaan itu apabila pejabat RichWorks dan rumah staf sendiri dinaiki air, kenderaan mereka tenggelam namun tahu pasti ada mereka yang lebih terkesan lagi.

"Apa RichWorks dapat lakukan ketika ini dengan meneruskan khidmat nasihat dari segi bisnes, bagaimana mereka dapat bangkit kembali daripada cabaran ini di samping program percuma yang akan diadakan dalam masa terdekat ini," katanya.

Radz berkata, bagi mereka yang berdepan cabaran itu juga dinasihatkan jangan terlalu fokus kepada masalah itu sebaliknya cari jalan untuk terus maju ke depan.

"Tapi, peluang untuk anda bangkit semula mustahil berlaku, jika diri sendiri tak buat keputusan berani melakukan tindakan yang betul.

"Contohnya, ramai usahawan di bawah bimbingan RichWorks bukan saja bertahan, malah melonjak naik jualan berkali ganda meskipun ketika pandemik bermula 2020 hingga tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, RichWorks juga akan membantu usahawan melalui 'Siri Klinik Usahawan Bina Bisnes Berjaya, Branding & Marketing Power 2022' secara virtual dan percuma kecuali mereka memilih untuk hadir di lokasi akan diumumkan kelak pada 4 hingga 6 Mac nanti.

Untuk maklumat lanjut, hubungi pasukan RichWorks di talian 019-2442244 atau layari https://binabisnesberjaya.com/.

Usahawan batang buruk raih jualan RM3.9 juta

Jika insan lain, tertekan dek kehilangan pekerjaan, tetapi lain pula pengalaman dilalui Pengasas Syarikat Hedy's International Sdn Bhd (Hedy's), Nor Hedayah Kaulan.

Lapan pekerja berhenti serentak sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memberi kesan besar kepada emosinya.

"Dugaan paling besar adalah mengawal emosi ketika PKP 3.0, apabila lapan pekerja berhenti secara serentak.

"Ketika PKP baru bermula, dua minggu pertama masa yang paling sukar bagi semua usahawan kerana sewa kedai dan gaji pekerja semuanya terjejas.

"Saya buntu memikirkan nasib perniagaan kami dan saya juga sudah mula hilang arah. Hasil jualan kedai sudah tidak dapat menampung sepenuhnya komitmen bulanan yang harus ditanggung termasuklah kos gaji pekerja dan sewa kedai," katanya.

Begitupun, Nor Hedayah segera bangkit dengan mencari jalan dan melakukan tindakan yang sepatutnya.

"Alhamdulillah, saya ada sistem sokongan yang kuat daripada RichWorks untuk buat apa yang perlu saya buat untuk hadapi isu ini," katanya.

Keputusan Nor Hedayah menyertai program syarikat bimbingan dan latihan paling berjaya di negara dengan dibimbing Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman, akhirnya menjadi penyelamat kepada perniagaannya.

"Saya tak tahulah bagaimana nasib bisnes saya tanpa bimbingan Dr Azizan dan RichWorks dalam menghadapi saat getir sepanjang PKP, asbab merekalah Hedy's seperti hari ini selain Allah SWT mengizinkan segalanya," katanya.

Lebih manis, Hedys meraih anugerah e-Branding BrandLaureate bagi kategori makanan tradisi pada tahun lalu.

Sepanjang 2021, kuih tradisi batang buruk keluaran syarikatnya terjual 130,000 paket dan 75,000 balang Hedy's sekali gus mencatat jualan RM3.9 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 11:54 AM