Hazira Ahmad Zaidi
am@hmeto.com.my


Kuala Krai: Sudahlah terkesan kerana banjir, sukar pula untuk keluar mencari rezeki, disebabkan itu badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) bertindak 'turun padang' memberi bantuan kepada penduduk di kawasan Kota Bharu, Kuala Krai, Kemubu dan Tumpat.

Ketua Jabatan Operasi MyFundAction Siti Aisyah Shahid, berkata, sehingga kini pihaknya sudah mengagihkan 500 kota rezeki bernilai RM144,000 kepada penduduk yang terjejas.

Katanya, sumbangan barangan keperluan asas yang diagihkan itu diharap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk yang terkesan akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.

"Pihak kami mengambil inisiatif menyumbang 'kotak rezeki' yang mengandungi keperluan asas seperti beras, minyak masak, sardin, gula dan gandum. Kami faham dengan situasi yang dihadapi penduduk yang tidak boleh keluar bekerja sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.

"Ada di antara mereka yang menerima sumbangan ini tidak boleh keluar menoreh getah atau turun ke laut disebabkan Monsun Timur Laut untuk mencari rezeki berikutan keadaan cuaca dan juga taburan hujan yang tidak menentu.

"Situasi yang dialami ini sudah pastinya memberi tekanan kepada ramai keluarga terutamanya yang mencari nafkah ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' kerana tidak boleh bekerja ketika hujan lebat dan juga laut bergelora," katanya.

Beliau berkata, selain agihan kotak rezeki, pihaknya turut mengedarkan kit kebersihan, pek makanan sedia untuk dimakan serta perkhidmatan klinik bergerak bagi membantu keluarga yang terkesan dengan bencana banjir.

Wakil Yayasan Kebajikan Muslim ‘MyFundAction’ (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir yang terkesan baru baru ini. FOTO IHSAN MyFundAction
Wakil Yayasan Kebajikan Muslim ‘MyFundAction’ (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir yang terkesan baru baru ini. FOTO IHSAN MyFundAction

Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Kemubu, Zakaria Derani, 70, berkata, dia berterima kasih kepada MyFundAction atas sumbangan makanan kering yang diberikan, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami penduduk kampung yang terjejas akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 8:33 PM