GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Syah Rul Aswari Abdullah


UNTUK artikel kali ini, penulis ingin berkongsi serba sedikit prosedur yang perlu dilalui oleh rakyat Malaysia yang ingin ke Turki. Ia memandangkan ramai dalam kalangan kita sering terkeliru dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa penerbangan, kesihatan dan imigresen sama ada di Malaysia dan Turki.

Sebenarnya, amat mudah untuk mengembara ke Turki pada masa sekarang ini. Mengikut maklumat di laman sesawang Kedutaan Malaysia di Turki (https://www.kln.gov.my/web/ tur_ankara/requirement_ malaysians), pemegang pasport Malaysia boleh memasuki Turki tanpa visa untuk lawatan sosial selama 90 hari, dengan syarat pasport sah untuk tempoh enam bulan dari tarikh masuk.

Selain itu, rakyat Malaysia tidak perlu mengemukakan sebarang keputusan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19 untuk menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur, jika sudah lengkap divaksin. Kita juga tidak perlu menjalani kuarantin apabila sampai di negara itu.

Namun begitu, ada tiga perkara penting yang penulis ingin ingatkan sebelum anda pergi ke KLIA untuk menaiki penerbangan ke Turki. Pertama, anda perlu mengisi borang kemasukan ke Turki (https://register.health.gov.tr/). Ia sebagai ganti kepada borang ketibaan yang selalu diisi apabila tiba di negara destinasi.

Untuk mengisi borang ini, anda perlu menyediakan butiran peribadi termasuk nombor pasport, penerbangan dan paling penting alamat tempat tinggal di Turki. Pada akhirnya, anda akan diberikan kod QR HES. Ia seperti kod QR di MySejahtera. Ini dokumen tunggal yang akan diminta oleh petugas kaunter daftar masuk di KLIA.

Kod ini juga akan digunakan apabila anda mahu mengaktifkan kad pengangkutan awam di Turki. Selain itu, ia juga perlu dikemukakan untuk memasuki dewan konsert, muzium dan beberapa venue lain. Tetapi, berbanding negara kita, anda tidak perlu mengimbas kod ini untuk memasuki venue berkenaan.

Kedua, anda perlu awal-awal lagi mengisi borang permohonan untuk menjalani kuarantin di rumah (HSO) sebaik pulang ke tanah air (https://hso.moh.gov. my/outbreak-portal-hqa/index) nanti. Tidak ramai tahu bahawa borang ini perlu diisi dalam tempoh antara tujuh hingga 10 hari dari tarikh tiba di Malaysia. Ia juga memerlukan sekurang-kurangnya 24 jam untuk diproses.

Jadi, jika anda mengembara untuk tempoh kurang seminggu, sebaik-baiknya isi borang ini empat atau lima hari sebelum tarikh berlepas. Ini kerana tarikh mula kuarantin secara automatik dikira tujuh hari dari tarikh permohonan. Ini akan memudahkan urusan apabila tiba di tanah air dan mengelak daripada terpaksa mengeluarkan kos untuk kuarantin di hotel.

Oh ya, borang ini tidak memerlukan keputusan ujian PCR dan ia tidak boleh diisi hanya selepas anda mendarat di KLIA. Cuma anda perlu memuat naik gambar MyKad, pasport dan dokumen perjalanan, tetapi saiz setiap satu mesti kurang 250 kilobait. Seperkara lagi, alamat kuarantin perlu sama dengan alamat di MySejahtera.

Perkara ketiga adalah amat penting iaitu memastikan anda mempunyai wang kecemasan dan insurans kesihatan yang meliputi kes Covid-19 apabila mengembara ketika pandemik. Ini kerana ada fasiliti yang memerlukan wang pendahuluan untuk kemasukan ke hospital, bergantung kepada terma polisi insurans.

Itu kisah pergi melancong. Lain pula urusan untuk pulang ke tanah air. Anda perlu menjalani ujian PCR sekurang-kurangnya dalam tempoh 72 jam di Turki sebelum berlepas ke Malaysia. Keputusan positif bermakna anda perlu tinggal lebih lama di Turki.

Berdasarkan pengalaman penulis, slip PCR juga ditanyakan lebih dua kali iaitu ketika urusan datar masuk di lapangan terbang dan mahu menaiki pesawat di Turki.

Sebaik mendarat di KLIA, penumpang akan diminta mengimbas kod QR dan mengisi MySejahteraTraveller. Ini bertujuan untuk memastikan pendaftaran untuk kuarantin sama ada di hotel atau di rumah. HSO ini kemudian akan tertera pada profil MySejahtera.

Prosedur ini amat penting bagi mengelak anda 'terkandas' di KLIA untuk tempoh yang lama.

Dari sini, penulis diminta ke satu kaunter dan mengemukakan surat kebenaran HSO dan keputusan ujian PCR di Turki. Selepas itu, penulis dipakaikan gelang merah jambu dan diarahkan sekali lagi menjalani ujian PCR di KLIA. Menurut petugas di situ, keputusan akan mengambil tempoh dalam tiga hari dan akan dimaklumkan menerusi SMS dan dipaparkan di aplikasi MySejahtera.

Selepas tamat prosedur ini, anda boleh mengambil bagasi dan terus pulang ke rumah. Ketika ini, tempoh kuarantin untuk rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara ditetapkan tujuh hari. Status anda kini bertukar kepada individu dalam pemantauan (PUS).

Namun, ini belum dikira habis lagi. Setiap hari, anda perlu menjawab beberapa soalan ringkas di aplikasi MySejahtera. Pada hari kelima, anda perlu menjalani satu lagi ujian PCR.

Jujurnya, cabaran sebenar adalah sukar untuk berhubung dengan pejabat kesihatan daerah (PKD) terdekat untuk mendapat slot ujian PCR. Tetapi lebih mudah jika anda mengirim mesej menerusi WhatsApp klinik kesihatan. Jika anda tinggal di kawasan Titiwangsa, anda boleh menghantar mesej WhatsApp ke nombor 011-56295356 untuk menempah slot ujian di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.

Jika keputusannya ujian terakhir ini negatif, anda perlu ke klinik kesihatan untuk memotong gelang pada hari kelapan. Tetapi perlu diingat, pemotongan gelang hanya dilakukan pada waktu tertentu sahaja. Jadi hantar mesej WhatsApp dulu sebelum hadir ke klinik.

Oh ya untuk semua ujian PCR di Malaysia, penulis tidak dikenakan sebarang bayaran.

Bunyinya agak renyah kan, tetapi itu adalah norma baharu yang terpaksa kita hadapi jika mahu mengembara ketika pandemik ini. Paling penting, sentiasa dapatkan maklumat mengenai SOP terkini kerana ia kerap berubah, tidak dikemas kini dan ada kalanya amat mengelirukan.

Pendek cerita, jangan sesekali ambil mudah mengenai semua perkara yang penulis sudah nyatakan.

Nota: Lawatan penulis ke Istanbul adalah atas jemputan Turkish Tourism Promotion and Development Agency sempena pelancaran Pusat Kebudayaan Ataturk (AKM). SOP tertakluk kepada perubahan semasa mengikut ketetapan pihak berkuasa kesihatan, imigresen dan penerbangan di Turki dan Malaysia.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 5:59 AM