GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Syah Rul Aswari Abdullah


Omicron yang menjadi varian baharu Covid-19 kini menjadi tajuk utama laporan berita. Tidak keterlaluan, laporan berita pada sebelah pagi lazimnya akan dipenuhi dengan perkembangan kes membabitkan varian ini.

Perkembangan ini menyaksikan orang ramai resah memandangkan sudah ramai daripada kita yang sudah menempah tiket penerbangan untuk ke luar negara pada hujung tahun dan awal tahun depan.

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan kebanyakan daripada kita sudah tidak dapat ke mana-mana selama hampir setahun setengah.

Lihat sahaja di forum dan laman web kembara dalam talian, soalan lazim yang akan ditanyakan oleh pengguna adalah sama ada untuk meneruskan hasrat untuk mengembara.

Namun, sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada maklumat yang benar-benar jelas mengenai Omicron.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan masih banyak kajian perlu dilakukan untuk mengenai varian baharu ini.

Setakat ini, WHO menyatakan Omicron berkemungkinan lebih mudah menjangkiti semula mereka yang pernah ada virus itu ataupun sudah divaksin.

Ia berbanding varian sebelum ini, tetapi varian ini dikatakan menyebabkan penyakit lebih ringan.

Ketua Pengarah Pertubuhan WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada satu sidang media berkata, ia berdasarkan data diperoleh dari Afrika Selatan.

Bagaimanapun, Tedros memberi amaran supaya semua pihak tidak bersikap lalai terhadap ancaman virus berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan pula dilaporkan berkata, data setakat ini menunjukkan Omicron mencatat kadar kebolehjangkitan tinggi, malah berkemungkinan lebih tinggi daripada Delta.

Dalam pada itu, pakar WHO terus menekankan mengenai kepentingan imunisasi.

Ia menjelaskan biarpun sesetengah data menunjukkan vaksin sedia ada didapati kurang berkesan terhadap Omicron, ia dijangka masih berupaya memberi perlindungan signifikan untuk mengelakkan penyakit teruk.

Terdahulu, ketika laporan awal mengenai Omicron, WHO juga tidak melarang orang ramai untuk mengembara.

Ia sebaliknya menasihatkan individu yang belum lengkap divaksin terhadap Covid-19, termasuk individu berusia 60 tahun ke atas perlu menangguhkan perjalanan ke kawasan yang mempunyai penularan tempatan virus itu.

Menurut WHO juga, sekatan perjalanan tidak akan menghalang penyebaran
varian Omicron.

Jadi, apa yang perlu pengembara lakukan untuk mahu untuk meneruskan rancangan untuk melancong pada masa terdekat ini?

Paling utama, mereka perlu sedar bahawa banyak negara sudah mengetatkan syarat kemasukan susulan penularan varian ini.

Peraturan ini berubah dari semasa ke semasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) di negara asal dan negara destinasi.

Biarpun sebelum Omicron, ramai daripada kita yang sering mengambil langkah mudah berkaitan dengan SOP. Apabila berlaku masalah, kita pula mengambil jalan mudah dengan menyalahkan kepada pihak berkuasa.

Daripada pengalaman penulis, perkara pertama yang akan ditanyakan petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah sama ada mempunyai keputusan ujian PCR.

Perlu atau tidak PCR adalah perkara nombor dua.

Ia kerana ada negara yang tidak memerlukan keputusan PCR. Tetapi, sesetengah syarikat penerbangan pula yang memerlukan keputusan ujian berkenaan.

Jika ia tidak diperlukan pula, ia boleh menjimatkan banyak kos terutama untuk mereka yang mengembara secara berkumpulan.

Di sini, kita tidak boleh menyalahkan petugas kerana mana mungkin mereka ingat setiap SOP terkini untuk setiap negara destinasi dan syarikat penerbangan.

Penulis pernah melihat sendiri seorang penumpang wanita Eropah di KLIA tidak dibenarkan untuk mendaftar masuk kerana tidak mempunyai keputusan ujian PCR.

Jika anda pulang dari luar negara dan destinasi terakhir pula adalah Sabah dan Sarawak pula, periksa dahulu ketetapan terkini memandangkan kedua-dua negeri ini mempunyai peraturan imigresen yang berbeza dengan Semenanjung.

Perlu diingat bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak imigresen.

Di KLIA juga, penulis melihat seorang lelaki pula terpinga-pinga apabila diberitahu terpaksa menjalani kuarantin di hotel. Ia memandangkan tidak mengetahui bahawa perlu mengisi borang untuk mendapatkan kebenaran untuk menjalani kuarantin di rumah.

Bayangkan, dia pulang untuk tempoh singkat selama dua minggu. Jadi, berkemungkinan besar dia terpaksa menjalani kuarantin di hotel untuk tempoh seminggu.

Selain itu, ada negara yang sudah mengetatkan syarat kemasukan susulan penularan Omicron. Ada yang sudah tidak menerima ujian RTK dan memerlukan keputusan PCR sebelum berlepas.

Ada juga yang memerlukan pengembara menjalani kuarantin di penginapan selepas ketibaan, sehingga ujian PCR selepas tiba di negara destinasi, menunjukkan individu itu negatif.

Selain itu, ada juga negara tertentu yang mensyaratkan pengembara menjalani ujian saringan kendiri Covid-19 secara harian dalam tempoh tujuh hari selepas ketibaan.

Suka atau tidak, ini adalah gaya melancong ketika pandemik. Tidak nampak 'bayang' bahawa Covid-19 akan hilang dalam dua atau tiga bulan lagi. Kita tidak boleh menunggu virus ini 'lenyap' kerana hidup mesti diteruskan.


Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:00 AM