Zulkifli Wahijan
Zulkifli Wahijan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Muslim Care Malaysia (MCM) melancarkan kutipan dana untuk membiayai pembinaan semula Masjid Muhammad Al Amin di Gaza yang musnah dibom oleh tentera rejim Israel, Sabtu lalu.

Masjid berkenaan dibina pada 2011 menggunakan hasil sumbangan rakyat Malaysia, dan beroperasi pada Oktober 2013.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM2 juta bagi membangunkan semula masjid berkenaan.

"Kami berkongsi rasa sedih dengan apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin di Gaza susulan kekejaman Israel. Difahamkan 74,000 rakyat Gaza hilang tempat tinggal.

"Tindakan tidak berperikemanusiaan dan melampau tentera rejim zionis turut mensasarkan pengeboman ke atas rumah ibadat dan sekolah.

"Dalam Islam ada peraturan untuk berperang, institusi seperti itu tidak boleh diserang, begitu juga golongan kanak-kanak dan wanita," katanya sambil menjelaskan Ramadan 2019 adalah kali terakhir beliau solat jemaah di Masjid Muhammad Al Amin ketika misi kemanusiaan MCM di Gaza.

Beliau berkata, pada masa itu kos pembinaan masjid dua tingkat lengkap dengan fungsi sebagai Pusat Islam itu adalah RM1.4 juta.

"Masjid Muhammad Al Amin mempunyai 1,000 kapasiti jemaah. Amat menyedihkan, selepas genap 10 tahun beroperasi ia dimusnahkan apabila menjadi sasaran tentera zionis laknatullah.

"Kami yakin masjid yang 100 peratus pembiayaannya menerusi sumbangan rakyat Malaysia ini akan berdiri teguh semula dengan bantuan dana orang ramai.

"Pastinya kita nak bina semula insya-Allah. Kami mensasarkan dana yang diperlukan adalah RM2 juta berdasarkan anggaran semasa untuk membina semula Masjid Muhammad Al Amin," katanya.

Orang ramai yang ingin memburu pahala membina masjid itu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan kepada Maybank Muslim Care Malaysia 564490211159 atau Bank Islam 07016010077651 (Rujukan: Masjid Palestin).

Katanya, slip sumbangan boleh dihantar kepada Hotline MCM: 011-50050035, 016-9978323 (Johari), 013-4886447 (Safuan).

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihak MCM sudah menghantar bantuan awal kecemasan sebanyak RM100,000 untuk membantu Gaza.

"MCM juga sedang berusaha untuk menghantar misi kemanusiaan ke Gaza. Sekarang di sana sedang teruk, elektrik tiada, Internet pun terputus.

"Apa pun, perlu kita ingat Perang Palestin-Israel kali ini berlaku menjelang 100 tahun kejatuhan empayar khalifah Uthmaniyah yang berlaku pada 1924 dan kita kini nak memasuki 2024.

"Dikatakan mujadid akan muncul menyusun semula kekuatan kepemimpinan berteraskan penyucian hati umat Islam.

"Dijangka Islam akan bangkit semula memimpin dunia," katanya.

Berita berkaitan:

Masjid di Gaza dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia musnah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 2:03 PM