SEORANG anggota polis Israel berkawal di sebuah sekatan di pintu masuk ke penempatan Arab di Timur Baitulmaqdis. FOTO AFP
SEORANG anggota polis Israel berkawal di sebuah sekatan di pintu masuk ke penempatan Arab di Timur Baitulmaqdis. FOTO AFP
Nadir Al-Nuri

SETAHUN dua ini kita selalu mendengar berkaitan perebutan kawasan di antara negara seperti isu Turki dan Greece yang berkonflik berikutan isu penerokaan minyak dan gas di Laut Mediterranean, isu perebutan Kashmir-Jammu di antara India dan Pakistan, malah isu perebutan Pulau Batu Putih di antara Malaysia dan Singapura serta isu Sabah yang didakwa Filipina sebagai milik mereka. Perebutan ini bukan semata-mata kerana kepentingan ekonomi tertentu, tetapi ia membabitkan tunjang asas sebuah negara iaitu prinsip kedaulatan dan keupayaan mengawal populasi dan wilayah.

Selain itu, kedaulatan sebuah negara juga berkait dengan hak kelompok majoriti dan penduduk asal untuk menentukan kuasa dan memilih perjalanan hidup mereka.

Kesilapan ini yang dibuat Palestin pada awal era penjajahan Zionis Israel dan perlu diambil iktibar oleh kita semua.

Kedaulatan dan kewujudan Palestin sebagai empayar Turki Uthmaniyyah runtuh di penghujung Perang Dunia Pertama dan diambil alih British sebelum diserahkan kepada bangsa Yahudi sebagai negara mereka yang sah pada 1948.

Awalnya tindakan mengambil alih sebuah kawasan yang didiami penduduk Palestin sebagai milik kuasa asing ditolak, tetapi melalui usaha licik meruntuhkan kedaulatan dengan merampas wilayah dan mengawal populasi lalu memenangi permainan demografi, akhirnya negara penjajah pula yang diangkat sebagai 'benang basah' yang berdepan penentangan pengganas.

Pertama sekali mereka merampas tanah penduduk Palestin yang dikosongkan pasca penghijrahan peristiwa Nakbah melalui undang-undang yang diluluskan pada 1950 bernama Absentee Property Law.

Undang-undang ini memberi 'hak' kepada badan yang disebut sebagai Custodian of Absentee Property (Penjaga Harta Tidak Bertuan) untuk mengurus harta itu lalu majoritinya dijual kepada negara Israel dan Jewish National Fund, tanah dan rumah yang kosong dijadikan penempatan baharu penduduk Zionis yang berhijrah ke Palestin dari negara luar.

Kemudian mereka menggalakkan penghijrahan ratusan ribu penduduk Zionis ke Palestin lalu merubah demografi Palestin sehinggakan penduduk Arab yang ada dalam tanah kawasan jajahan 1948 Israel hanya mencecah 20 peratus daripada penduduk yang ada.

Penduduk Arab sedia ada dizalimi pula dengan undang-undang rasis dan etnosentrik seperti melalui pemberian subsidi terpilih kepada penduduk Yahudi sahaja dengan penentuan kawasan fokus yang dinamakan sebagai National Priority Areas (NPA), perampasan tanah sesuka hati melalui Ordinan Tujuan Am yang membolehkan tanah dirampas untuk 'kepentingan awam', diskriminasi untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan ketidakseimbangan dalam hak mendapatkan pendidikan.

Ia tidak menghairankan kerana Israel antara satu daripada hanya empat negara di dunia yang tidak mempunyai perlembagaan bertulis dan ditadbir oleh sistem undang-undang yang dipanggil 11 Basic Laws.

Undang-undang ini pastinya sangat 'fleksibel' dan condong kepada idea asas pembentukan Israel sebagai sebuah negara Yahudi atau Jewish State.

Malah, negara haram ini berlawanan dengan norma antarabangsa dengan membezakan antara kewarganegaraan yang dipanggil le'um dan kerakyatan yang dipanggil ezrahut dengan kedua-duanya mempunyai hak dan tanggungjawab berbeza.

Penduduk Arab dalam Israel hanya mempunyai hak untuk menjadi rakyat dan bukan warganegara sedangkan hak untuk menjadi warganegara bukan saja dinikmati penduduk Yahudi dalam Israel, malah dibuka kepada seluruh penduduk Yahudi di seluruh dunia yang mahu berhijrah ke sana melalui undang-undang Law of Return 1950 dan Citizenship Law of 1952.

Keadaan tidak bertambah baik apabila mutakhir ini antara perkara terawal yang dibuat Benjamin Netanyahu apabila menang sebagai Perdana Menteri Israel ialah menggantikan papan tanda dan nama jalan raya berbahasa Arab di Palestin dengan nama Yahudi dan menghalang pengajaran berkaitan sejarah asal Palestin iaitu peristiwa Nakbah dalam silibus di sekolah.

Sebab itu apabila timbul isu nama jalan hendak digantikan dan sejarah yang diajar kepada anak-anak di sekolah ditukar, ia bukan isu kecil. Ia isu yang pernah merampas kedaulatan sebuah negara sehingga penghuninya merempat di tanah air sendiri. Malaysia baru menyambut ulang tahun kemerdekaan dan akan menyambut sambutan Hari Malaysia minggu depan.

Semangat kemerdekaan wajib dijunjung dengan mendokong perlembagaan, rukun negara serta mengekalkan keamanan dan perpaduan yang sudah lama dikecapi. Terima kasih Tuhan, atas nikmat kemerdekaan ini.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 8:10 AM