Tuan Asri Tuan Hussein


BERJALAN sehingga lapan kilometer sehari dan sebahagian besar masa dihabiskan dalam cuaca panas melebihi 40 darjah celsius sudah manjadi rutin kepada anggota Unit Peronda Tabung Haji (TH).

Ditubuhkan sejak 2014, tugas utama anggotanya ialah mencari, mengesan dan menjadi penunjuk arah kepada jemaah haji Malaysia yang tersesat di dalam dan sekitar Masjidilharam.

Ketua Unit Peronda TH Inspektor Abdullah Jauhari berkata, selain itu pasukannya yang diperkuatkan dengan 18 anggota turut berperanan menjaga keselamatan dan memberi bantuan awal kepada jemaah yang mengalami apa jua masalah.

Menurutnya, sebahagian besar anggota adalah kakitangan polis bantuan TH dan dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT).

"Anggota kami bertugas 24 jam yang dibahagikan kepada tiga syif. Satu syif lapan jam dan ada sembilan anggota yang bertugas.

"Mereka ditempatkan di lokasi strategi di dalam serta luar Masjidilharam iaitu dari kawasan Marwah sehingga ke Jabal Omar," katanya kepada wartawan Malaysia di Makkah.

ANGGOTA Unit Peronda TH bersiap sedia memulakan tugas.
ANGGOTA Unit Peronda TH bersiap sedia memulakan tugas.

Abdullah berkata, anggota Unit Peronda TH mudah dilihat dan dikenali kerana sentiasa memakai seragam iaitu kemeja T dan topi berwarna merah terang yang dilengkapi logo TH serta berseluar hitam.

Menurutnya, kes jemaah haji tersesat atau tersasar berlaku hampir setiap hari terutama dalam kalangan yang baru tiba kerana mereka masih keliru dan belum menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Sementara itu, seorang anggota Unit Peronda TH Mazalan Salleh berkata, musim haji tahun ini dan kali kedua dia terpilih bertugas di Tanah Suci dan menganggap ia cabaran yang sangat istimewa.

MAZALAN Salleh.
MAZALAN Salleh.

"Kalau diikutkan memang kerja kami memenatkan kerana terpaksa berjalan jauh dalam cuaca yang panas, tapi apabila menyedari semua itu demi menyantuni Dhuyufurrahman, saya berasa puas dan semua rasa letih akan hilang," katanya.

Mazalan berkata, antara kes pernah dikendalikannya ialah mencari jemaah yang hilang selama dua hari di dalam Masjidilharam.

"Apabila dijumpai, dia kata dia bukannya sesat tapi mahu beriktikaf di dalam masjid. Masalahnya, dia tidak memberitahu perkara itu kepada kekuarga dan teman sebilik," katanya.

Sehubungan itu, Mazalan menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya menjalin hubungan yang rapat dengan rakan sebilik dan sentiasa memaklumkan pergerakan masing-masing supaya tidak timbul kebimbagan serta salah faham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 12:54 PM
ANGGOTA  Unit Peronda TH memberi panduan kepada jemaah haji Malaysia di perkarangan Masjidilharam.
ANGGOTA Unit Peronda TH memberi panduan kepada jemaah haji Malaysia di perkarangan Masjidilharam.