NAWAWI (dua dari kiri) ketika melancarkan  buku panduan sistem pengurusan strategik 2021-2025 Kor Agama Angkatan Tentera sempena sambutan Hari KAGAT di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
NAWAWI (dua dari kiri) ketika melancarkan buku panduan sistem pengurusan strategik 2021-2025 Kor Agama Angkatan Tentera sempena sambutan Hari KAGAT di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Hari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) kali ke-36 disambut secara sederhana dengan perutusan dan amanat disampaikan Pengerusi Kor di Dewan Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Kor KAGAT Mejar Jeneral Datuk Nawawi Daud selaku Ketua Pengarah KAGAT yang ketujuh.

Dalam perutusannya, Nawawi berkata, KAGAT genap berusia 36 tahun selepas ditubuhkan pada 16 April 1985.

Menurutnya, terdapat lima Teras Perkhidmatan sebagai seorang Dai'e Askari.

"Lima teras itu adalah 'Faham' iaitu mempunyai kefahaman yang jelas berhubung ilmu-ilmu Islam dan mengetahui matlamat organisasi.

"Ia seharusnya menjadi tindakan bijak kepada seluruh warga Kor KAGAT untuk mendalami ilmu Islam melalui pelbagai medium sama ada secara rasmi atau tidak.

"Teras pertama ini bertujuan supaya setiap anggota KAGAT benar-benar boleh menjadi pusat rujukan bagi anggota dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus memantapkan organisasi ini," katanya ketika merasmikan Hari Kor KAGAT di sini.

NAWAWI (kiri) menyampaikan anugerah khas kepada Lt Kol Nadzri Munsman sempena sambutan Hari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI), Port Dickson. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
NAWAWI (kiri) menyampaikan anugerah khas kepada Lt Kol Nadzri Munsman sempena sambutan Hari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI), Port Dickson. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Menurutnya, teras yang kedua adalah 'Amal' iaitu beramal dan bertindak selari dengan syariat Islam.

"Teras yang ketiga adalah 'Ikhlas' dalam segala tindakan dan gerak kerja walaupun sukar atau sulit. Kita bukan hanya sekadar mahu berjaya di dunia namun matlamat sebenar adalah turut berjaya di akhirat.

"Teras ke empat adalah 'Jihad' iaitu anggota perlu berusaha gigih dengan penuh komitmen dan sedia berkorban demi perjuangan.

"Anggota KAGAT perlu yakin bahawa tugas buat Kor ini adalah bertepatan dengan kehendak dan seruan jihad fisabilillah," katanya.

Nawawi berkata, teras kelima yang tidak kurang pentingnya adalah 'Integriti' iaitu anggota KAGAT membudayakan amanah dan ketelusan dalam kerjaya sebagai benteng terakhir.

"Ini supaya anggota KAGAT terselamat dari tergelincir dari medan dakwah. Kita bekerja untuk mencari keredaan Allah SWT dan yakinlah perjuangan dakwah ini suci.

"Kita juga berusaha memastikan imej kor sentiasa terpelihara kerana kor KAGAT membawa imej Islam dalam organisasi ATM. Setiap warga KAGAT perlu menjaga nama dan mengelak sebarang masalah disiplin yang boleh menjejaskan nama baik kor," katanya.

SEBAHAGIAN anggota KAGAT yang menerima Sijil Kepujian Pengerusi Kor sempena sambutan Hari KAGAT di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
SEBAHAGIAN anggota KAGAT yang menerima Sijil Kepujian Pengerusi Kor sempena sambutan Hari KAGAT di Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Tambahnya, Kor KAGAT perlu terus berkhidmat untuk menjadi ejen perubahan ke arah yang lebih baik.

"Saya menyeru semua anggota KAGAT tidak menjadi seperti anai-anai yang merosakkan kor KAGAT dari dalam. Pimpinan sehebat mana sekalipun tidak mampu bertahan lama sekiranya dipenuhi makhluk perosak.

"Anggota KAGAT perlu berhikmah dalam melaksanakan sebarang penugasan dengan penuh tanggungjawab sebagaimana dituntut agama. Inilah transfomasi kor KAGAT pada ulang tahun ke-36," katanya.

Ulang tahun ke-36 Kor KAGAT ini adalah yang pertama dan terakhir bagi Mejar Jeneral Datuk Nawawi Daud kerana beliau bakal bersara wajib 31 Disember hadapan selepas menyandang jawatan Pengarah Kor KAGAT selama sembilan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 7:15 AM