BEKAS Ketua Seksyen MT Malbat 850-4, Adli Zil Ikram Abu Bakar (kanan) bersama anaknya Adam Danial Hakim (kiri) selepas raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya. FOTO Bernama
BEKAS Ketua Seksyen MT Malbat 850-4, Adli Zil Ikram Abu Bakar (kanan) bersama anaknya Adam Danial Hakim (kiri) selepas raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Dengan mengenakan pakaian seragam Malaysian Battalion (Malbatt 850-4) serta beret biru, gaya remaja Adam Danial Hakim Adli Zil Ikram itu menarik tumpuan di raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang berlangsung di sini hari ini.

Adam Danial Hakim, 14, berkata, beliau meminta izin memakai seragam tentera miliknya bapanya itu untuk menyaksikan raptai penuh hari ini kerana ingin menyemarakkan suasana sambutan hari kemerdekaan negara yang ke-66.

"Rasa bersemangat bila pakai seragam tentera ini," kata anak kepada bekas Ketua Seksyen MT Malbat 850-4 Adli Zil Ikram Abu Bakar yang bercita-cita mengikuti jejak bapanya sebagai tentera kerana mahu menpertahankan kedaulatan negara.

"Saya ingin berjuang macam ayah, dan ayah selalu juga beri latihan ala-ala tentera dan tegas," katanya ketika ditemui Bernama selepas raptai penuh itu yang turut dihadiri ribuan pengunjung.

"Harga sebuah kemerdekaan di negara ini saya rasa memang perlu dihargai, dan dipertahankan semua rakyat Malaysia," kata Adam Danial Hakim yang ditemani ibunya Nurul Nadiah Md Zin, 34, ke raptai penuh itu hari ini.

ADAM Danial hadir dengan memakai pakaian seragam Malbatt 850-4 lengkap berkaca mata serta mengenakan beret biru milik bapanya bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-66. FOTO Bernama
ADAM Danial hadir dengan memakai pakaian seragam Malbatt 850-4 lengkap berkaca mata serta mengenakan beret biru milik bapanya bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-66. FOTO Bernama

Adli Zil Ikram berkata, anaknya meminta izin memakai beret dan seragam Malbatt kerana ingin menjiwai perasaan sebagai seorang tentera.

"Bila dia minta izin, saya tidak halang dan ia sesuatu yang membanggakan," katanya.

Katanya Adam Danial Hakim ada menyatakan hasrat untuk jadi tentera, dan beliau akan memberi dorongan kepada anaknya untuk mencapai cita-cita tersebut.

"Bila dia nyatakan hasrat itu, saya beritahu disiplin adalah penting, dan sebab itu saya tegas dengan anak dan beri latihan kepada dia," kata veteran tentera yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari 2004 hingga 2018.

Adli Zil Ikram yang memakai baju melayu hitam dengan beret biru Malbatt akan turut menyertai perarakan Hari Kebangsaan 2023 pada Khamis ini, di bawah Kontinjen Keselamatan Negara bagi Persatuan Veteran ATM.

Menurutnya tahun ini merupakan kali kedua beliau menyertai perarakan Hari Kebangsaan, berasa cukup teruja kerana terdapat pelbagai persembahan menarik dalam pengisian, antaranya aksi terjunan tepat melibatkan anggota pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Adli Zil Ikram berkata anaknya datang menyaksikan raptai kerana ingin mengetahui persiapan dan bentuk persembahan pada 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

"Pada 31 Ogos ini, saya dan anak akan hadiri sambutan dengan memakai pakaian sama seperti sesi raptai penuh hari ini," katanya.

Penugasan utama MALBATT 850 adalah melaksanakan misi pengaman di selatan Lubnan yang dikenali sebagai United Nation Interim Forces in Lebanon (UNIFIL).

Malbatt 850-4 menjalankan misi pengaman selama setahun di Lubnan sejak Sept 2016.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 dengan tema 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Ini kali kelima Putrajaya menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan. Putrajaya pernah menjadi tuan rumah pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 3:38 PM