Pemain gitar Spider, Napie
Pemain gitar Spider, Napie
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemain gitar utama kumpulan Spider, Hanafi Hamdan atau Napie dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh akibat diserang strok ketika berada di Studio Luncai Emas malam tadi.

Vokalis Spider, Tam berkata, Napie yang juga jurutera bunyi di studio terbabit sedang melakukan kerjanya sambil ditemani oleh anak Datuk M Nasir, Hidayat.

"Nasib baik Hidayat ada bersama. Hidayat mulanya bertanya keadaan Napie sama ada okey atau tidak. Kebiasaannya Napie akan mengah-mengah apabila naik tangga ke studio.

"Dia memang selalu begitu. Dua tiga tahun lepas saya banyak kali tengok dia kena serangan sesak nafas. Jadi Hidayat pun tak ada rasa benda yang pelik pada malam semalam.

"Tiba-tiba Hidayat dengar benda jatuh dan segera berlari dapatkan Napie yang dah rebah tapi tak pengsan. Rasa saya kejadian sekitar jam 9 malam," katanya kepada Harian Metro.

Tam berkata, ketika itu dia baru pulang dari menghadiri sidang media Mahardika di Hard Rock Cafe di ibu kota dan sedang berehat di rumah.

"Saya dihubungi seorang rakan memberitahu perkara ini. Saya tunggu info lanjut berkenaan Napie tapi tiada dan buat keputusan terus ke studio. Saya tengok dah ada kawan-kawan yang sedang cuba kejutkan dia.

"Nampak dia meracau sebab oksigen tak naik ke otak. Saya juga perasan dia macam nak kena strok kerana tangannya tak boleh bergerak.

"Pasukan perubatan yang dihubungi kemudian sampai dan segera masukkan dia ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital. Ketika itu keadaan dia makin stabil," katanya.

Menurutnya, isteri Napie memaklumkan suaminya terkena serangan strok tapi tidak menjelaskan lebih lanjut bentuknya.

"Apapun saya sedang tunggu info lanjut dari isterinya. Insya Allah saya dan Aie (pemain dram Spider) akan melawat dia hari ini," katanya.

Terdahulu, Spider kehilangan bekas pemain bass mereka, Tony Iskandar pada 30 Jun 2021.

Tony ditemui meninggal dunia di sebuah studio rakaman di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 1:10 PM