ALBUM keenam Spider selit muzik ala Jawa namun kekalkan identiti kumpulan itu.
ALBUM keenam Spider selit muzik ala Jawa namun kekalkan identiti kumpulan itu.

Bagi peminat setia kumpulan Spider yang dianggotai Tam selaku vokalis dan gitaris, Nafi (gitar), Ayie (dram) dan Is (bass), tentunya lagu seperti Aladin, Relaku Pujuk, Nazraku dan banyak lagi terus menjadi siulan.

Terbaru, Spider yang ditubuhkan dua dekad lalu muncul dengan album keenam berjudul Ankabut. Sesuai dengan nama mereka, Ankabut membawa erti labah-labah dalam bahasa Arab.

Menampilkan 10 lagu baru, Spider mengetengahkan pelbagai genre dan lebih menarik menyelitkan muzik ala Jawa dalam salah satu lagu.

Trek pertama bermula dengan lagu Akulah Cerminmu yang menampilkan melodi ala punk rock. Identiti Spider masih dikekalkan, namun ada sedikit kesegaran dalam lagu ini.

Trek kedua berjudul Dah Ku Faham juga masih mengekalkan identiti serupa dan alaunan melodinya mudah melekat di hati pendengar.

Alunan gitar di permulaan lagu Hanya Terleka mengimbau kembali lagu popular band ini, Buat Sang Puteri.

Elemen rock dalam lagu ini tidak terlalu keras namun mampu membuatkan penonton terbawa-bawa dengan liriknya terutama di bahagian korus.

Jadikan Aku Wira pula membawa pendengar ke satu lagi fasa baru apabila muziknya berubah dari segi ‘time signature’ di beberapa bahagian.

Album Ankabut seterusnya menyajikan beberapa trek lain antaranya Kelawar Vampira, Kekasihku dan Jadilah sebelum beralih ke muzik berbeza melalui lagu Waduh Tijah.

Alunan melodinya menggabungkan alatan moden dengan muzik tradisional Jawa. Ternyata, ‘mood’ lagu ini juga sangat berbeza dan unik berbanding karya terdahulu.

Trek yang tidak asing buat pendengar tentunya Hidupku yang mendapat rotasi dari stesen radio tempatan. Petikan piano di bahagian pembukaan seakan membawa satu kelaian.

Bagi Spider, album Ankabut masih lagi menggunakan acuan sama namun diadun dengan beberapa elemen baru.

“Kami tidak mahu lari jauh daripada acuan Spider yang orang ramai sudah sedia tahu. Kami adun dan perbaiki dengan beberapa pembaharuan bagi menyajikan karya segar buat peminat,” kata Tam mewakili teman-temannya.

Album Ankabut hadiah istimewa buat peminat selepas enam tahun menanti buah tangan terbaru daripada Spider.

INFO:

Album: Ankabut

Artis: Spider

Terbitan dan edaran: Luncai Emas Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 6:39 AM