TAM SPIDER
TAM SPIDER
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Sempena ulang tahun kelahiran ke-50 bekas pemain bass kumpulan Spider, Allahyarham Tony Iskandar hari ini, penyanyi utama kumpulan itu, Tam Mustafah menghadiahkan sebuah lagu berjudul Hanya Tersenyum yang dicipta khas buat sahabat baiknya itu.

Tam berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk menyiapkan lirik dan lagu terbabit.

"Sejak arwah meninggal dunia saya selalu terfikir-fikir mengenainya. Jadi saya nak cuba buat sesuatu untuk simpan memori kami berdua dan kebetulan hari ini adalah ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

"Entah macam mana ketika saya duduk seorang diri dan teringat segala kenangan bersama arwah, saya mesti tersenyum . Jadi saya terus menghasilkan sebuah lagu dan lirik yang ringkas.

"Saya tak nak tulis lagu yang sedih sebab tujuannya saya nak bila orang lain mendengar mereka boleh mendoakan kesejahteraan arwah bukan bersedih meratapi permergiannya," katanya.

Menurut Tam, terlalu banyak kenangan manis bersama arwah sehingga sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Kami memang rapat sejak tahun 1994 lagi, malah boleh diibaratkan seperti teman tidur sebantal. Kalau nak kongsi kenangan bersama arwah memang terlalu banyak dan tak mampu nak diungkapkan dengan kata-kata.

"Jadi itu yang saya ringkaskan dalam lagu Hanya Tersenyum ini. Walaupun sedih atas pemergiannya, tapi saya puas kerana dapat bersama arwah beberapa hari sebelum dia menghadap Ilahi.

"Malah dia juga sempat memohon maaf kepada saya dan kawan-kawan serta kami berpeluang solat berjemah beberapa hari sebelum arwah meninggal dunia.

"Lagu ini juga dikhaskan untuk semua peminat dan kenalannya. Doakanlah untuk dia di sana," katanya.

Tony ditemui meninggal dunia di studio rakaman Luncai Emas milik komposer Datuk M Nasir di Sungai Buloh, Selangor pada 30 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 11:34 PM