Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader (kanan) yang mewakili Puteri Sarah pada sebutan kes nusyuz. FOTO ROHANIS SHUKRI
Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader (kanan) yang mewakili Puteri Sarah pada sebutan kes nusyuz. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri

 

Gombak: Peguam Syarie yang mewakili Puteri Sarah Liyana, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan pihaknya sudah memfailkan pembelaan nusyuz yang difailkan pengarah terkenal Syamsul Yusof terhadap anak guamnya. 

Tanpa kehadiran Sarah dan Syamsul, Akberdin memaklumkan mengenai tarikh baharu yang ditetapkan mahkamah untuk sebutan semula pada 14 Jun ini. 

"Mahkamah dah berikan pengecualian dan sudah diberi kebenaran untuk anak guam kami tak perlu hadir. 

"Kami sudah failkan pembelaan nusyuz yang difailkan oleh Syamsul. Dalam tindakan sama, kami masukkan tuntutan balas terhadap Syamsul. 

"Mahkamah sudah berikan tarikh baharu untuk plaintif masukkan pembelaan kepada tuntutan balas itu pada 14 Jun 2023," katanya kepada Harian Metro. 

Diminta mengulas mengenai tuntutan balas terhadap nusyuz yang difailkan Syamsul, Akberdin memaklumkan, anak guamnya ada alasan tersendiri. 

"Sama seperti Syamsul, Sarah ada alasan tersendiri antaranya, berkenaan dengan isu tidak bertanggungjawab. 

"Masing-masing ada pembelaan. Jadi, anak guam kami menafikan tuduhan-tuduhan yang dibuat Syamsul. Jadi, mahkamah akan tentukan sama ada tuduhan itu berasas atau sebaliknya. 

"Benda-benda ini bersangkut paut. Kalau dah bercerai, benda ini takkan berlaku. Tapi, sebab belum ada kesudahan lagi, jadi, kita terpaksa ikut prosedur mahkamah," katanya. 

Pada 6 April lalu, Puteri Sarah memaklumkan mahu memfailkan pembelaan terhadap tuntutan nusyuz dibuat Syamsul yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, pada 21 Mac lalu.

Bagaimanapun, Syamsul berkata akan menarik semula semua tuntutan itu selepas berbincang dengan isteri pertamanya itu pada 10 April lalu.

Kenyataan berkenaan dibuatnya selepas Syamsul akhirnya bersetuju akan lafaz cerai terhadap Puteri Sarah pada 18 April di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. 

Namun begitu, perceraian terbabit tidak berlaku selepas pengarah itu enggan lafaz cerai pada tarikh dijadualkan. 

Mewakili Puteri Sarah, Akberdin berkata, anak guamnya bertindak memfailkan tuntutan pembelaan nusyuz berkenaan selaku defendan.

Sebelum ini, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terbabit dengan alasan isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.

Selain itu, antara alasan dikemukakan terhadap tuntutan nusyuz itu termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 11:08 AM