TUNTUTAN nusyuz antara Ippo Hafiz (kanan) dengan Fara Roslan di Mahkamah Rendah Syariah, Ampang. FOTO Amiruddin Sahib
TUNTUTAN nusyuz antara Ippo Hafiz (kanan) dengan Fara Roslan di Mahkamah Rendah Syariah, Ampang. FOTO Amiruddin Sahib
Norhayati Nordin

Ampang : Bimbang boleh membuka aib isterinya, Fara Roslan, 36, komposer dan penyanyi, Ippo Hafiz, 34, enggan memberi sebarang komen mengenai isu berjumpa anak kedua mereka, Ibrahim Afi Nur, 2, yang masih dipersoalkan isterinya itu.

Ippo atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Yaziz berkata, dia mahu fokus kepada satu persatu isu untuk diselesaikan mengikut apa yang ditetapkan oleh pihak Mahkamah Syariah. 

"Berkenaan isu anak, buat masa ini saya tidak mahu beri sebarang komen. Saya serahkan semuanya kepada mahkamah dan semoga semua urusan dipermudahkan dan lancar.

"Sekiranya ada rasa ketidakpuasan hati (pihak isteri) boleh cerita di mahkamah saja. Sebab, kalau bercakap soal anak, saya pun sudah lama tidak bertemu dengan anak pertama kami. 

"Saya pun tak nak bercerita lebih kerana bimbang ia akan menjadi aib, jadi biarlah kita serahkan kepada mahkamah untuk menyelesaikannya nanti. Saya mohon doa yang baik-baik," katanya.

Ippo ditemui ketika hadir bersama peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan bagi sebutan keempat tuntutan kes nusyuz yang difailkannya terhadap Fara pada 12 Mac lalu yang didakwa keluar dari rumah mereka sejak November tahun lalu.

Berbicara sebutan kes nusyuz itu, Fakhrul Azman mewakili Ippo berkata, pada hari ini proses yang dilalui adalah pemfailan kepada jawapan pembelaan daripada kedua belah pihak plaintif (Ippo) dan responden (Fara).

"Setakat ini, pihak kami (plaintif) sudah menerima penyata tuntutan pembelaan yang difailkan defendan. Jadi, hari ini kami juga memfailkan jawapan kepada pembelaan itu dari segi 'pleading' iaitu dokumen berkaitan tuntutan yang sudah diselesaikan. 

"Cuma sekarang ini adalah dokumen atau keterangan yang kita hendak guna semasa perbicaraan nanti yang perlu difailkan sebelum 30 Julai depan, sebagai  pengurusan kes yang membabitkan peguam dengan mahkamah saja," katanya. 

Mengulas isu hadanah (penjagaan anak), Fakhrul Azman berkata, pihak anak guamnya, Ippo sebagai responden baru saja menerima dokumen tuntutan hadanah interim (sementara) daripada plaintif, hari ini dan sebutan kes pada 9 Julai depan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Yusof Zarin Nur, 4; dan Ibrahim Afi Nur, 2.

Apabila konflik rumah tangga berlaku, anak sulung, Yusof Zarin Nur kini menetap bersama Fara, manakala Ibrahim Afi Nur pula di bawah jagaan Ippo yang hingga kini Fara tidak berpeluang bertemu anak keduanya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 12:18 PM