Nor Farahin Roslan merupakan isteri Ippo Hafiz hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ampang bagi pembelaan kes nusyuz. FOTO ROHANIS SHUKRI
Nor Farahin Roslan merupakan isteri Ippo Hafiz hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ampang bagi pembelaan kes nusyuz. FOTO ROHANIS SHUKRI
Norhayati Nordin


Ampang : Komposer dan penyanyi, Ippo Hafiz, 34, menepis dakwaan isterinya, Fara Roslan, 36, mengenai dia yang gagal untuk dihubungi bagi berjumpa anak kedua mereka, Ibrahim Afi Nur, 2, yang kini di bawah jagaannya.

Ippo atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Yaziz berkata, dia juga masih menetap di kediaman yang sama, cuma kadang-kala tiada di rumah kerana ada kerja di tempat lain.

"Saya menafikan kenyataan Fara termasuk segala tohmahan fitnah yang berlegar di laman sosial. Saya serahkan semuanya kepada mahkamah dan cerita di sana saja. Ini kerana, saya bukan jenis yang suka nak bercerita di media sosial.

"Tapi, kalau dia (Fara) ada bukti (dakwaan tak dapat dihubungi) boleh tunjukkan di mahkamah dan bukan media sosial. Apapun, dia lebih tahu apa yang sebelum ini kami bincangkan. Pada saya bila banyak fitnah, lebih baik kita serahkan di mahkamah saja," katanya.

Menurut Ippo, dia dan isterinya itu ada berhubung untuk bertanya mengenai anak pertama mereka dan Fara sebenarnya lebih tahu apa yang berlaku di antara mereka.

"Kita ada berhubung untuk bertanya mengenai anak pertama (kini tinggal bersama Fara). Bagi saya, sebagai 'public figure' memang saya tak suka cerita peribadi diandaikan oleh pihak lain sebab mereka tak faham apa yang kita alami.

"Tapi, buat masa ini saya menikmati saja masa dengan Ibrahim dan dia gembira bersama dengan saya dan ya, memang saya menjaga Ibrahim sendiri," katanya yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pagi ini.

Ippo hadir bersama peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan bagi sebutan kedua tuntutan nusyuz yang difailkannya pada 12 Mac lalu terhadap Fara yang didakwa keluar dari rumah mereka sejak November, tahun lalu.

Ditanya juga mengenai masih ada perasaan sayang terhadap isterinya itu, Ippo berkata, sebagai pasangan suami isteri mestinya ada dan sukar untuk dilepaskan begitu saja.

"Susah saya nak cakap mengenai perkara itu (masih sayang) secara terperinci. Tapi, tipulah kalau tiada perasaan sayang. Sebagai keluarga, memang kita ada perasaan sayang tapi, apa yang boleh saya cakap, minta semua doakan yang baik-baik.

"Lagipun, dia (Fara) masih isteri saya dan saya menghormati dia, jadi lindungilah juga maruah suami," katanya.

Sementara itu,Fakhrul yang mewakili anak guamnya berkata, prosiding seterusnya kes pasangan terbabit akan berlangsung pada 24 Jun depan.

"Pada pagi ini, hanya defendan (Fara) hadir tapi peguam tak hadir. Namun, pembelaan sudah difailkan. Tapi, mahkamah tidak puas hati dengan ketidakhadiran (peguam), jadi mahkamah mengarahkan supaya tarikh akan datang untuk peguam hadir.

"Jadi prosiding hari ini tangguh dan kami perlu failkan jawapan kepada pembelaan pada 24 Jun depan," katanya.

Ditanya juga sama ada Fara sudah memfailkan perceraian dan hadanah, Fakhrul berkata, pihaknya masih menunggu penyerahan daripada pihak wanita itu.

"Difahamkan Fara sudah failkan cerai, tapi kami belum terima maksud penyerahan belum sampai pada pihak Ippo dan kami masih menunggu. Begitu juga, hadanah sudah difailkan, tapi tak dapat sebarang notis dari mahkamah berkaitan dengan kes itu," katanya.

Dalam pada itu, Fara hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi ini untuk prosiding itu berkata, dia hingga kini masih lagi tidak berjumpa dan berhubung dengan anak keduanya, Ibrahim sejak Februari lalu.

"Saya ada cuba telefon dan mesej tapi dia tak jawab dan saya tak tahu dia dekat mana. Saya ada semua bukti yang menyatakan dia tak angkat panggilan saya.

"Kita cuma risaukan anak saja yang lain tiada masalah, sebab saya memang nak jumpa anak saya. Itu saja," katanya.

Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Yusof Zarin Nur, 4 dan Ibrahim Afi Nur, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 11:41 AM