Ippo Hafiz kongsi wajah anak kedua.
Ippo Hafiz kongsi wajah anak kedua.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Selepas merujuk dengan beberapa ustaz dan guru agama, penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz hanya berkongsi wajah anak keduanya hari ini iaitu seminggu selepas dilahirkan pada 20 Januari lalu.

Ippo ketika dihubungi berkata, mereka memberi pandangan supaya dia hanya berkongsi gambar bayinya seminggu selepas dilahirkan bagi mengelakkan penyakit 'Ain atau gangguan disebabkan oleh pandangan mata yang disertai perasaan iri hati dan dengki.

Ippo berkata, setakat ini Ibrahim yang lahir dengan berat 3.7 kilogram itu belum diberikan nama penuh.

"Nama penuh belum ada lagi, tapi nama depannya Ibrahim. Saya serahkan kepada isteri untuk pilih nama belakangnya. Kami memilih nama Ibrahim kerana ketika dia berada di dalam kandungan, kami kerap bercerita mengenai kisah Nabi Ibrahim.

"Semoga dia menjadi seorang individu yang berbakti kepada agama dan semoga kesabaran dia tinggi sama seperti Nabi Ibrahim," katanya.

Terdahulu, Ippo hari ini berkongsi gambar anak lelakinya itu di Instagram dan bersyukur atas kehadiran cahaya mata keduanya itu.

"Segala puji bagi Allah SWT, hari Jumaat yang penuh baraqah saya ingin berkongsi, pada 20 Januari 2022, 8.18 malam, bidadari saya Fara Roslan selamat melahirkan putera kedua kami dengan izin Allah. Subhanallah," tulisnya.

Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan dikurniakan cahaya mata pertama, Yusuf Zahrin Nur pada 6 Ogos 2020.

Sebelum itu, Ippo juga turut memiliki anak angkat bernama Cinta Rizky Amanda, 5, yang dijaga sejak dilahirkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 5:27 PM