DOLLA menepati ramalan apabila meraih trofi Artis Baharu Wanita Popular
DOLLA menepati ramalan apabila meraih trofi Artis Baharu Wanita Popular
Najiy Jefri


KEHADIRAN penyanyi berkumpulan masa kini, lebih-lebih lagi membabitkan penyanyi wanita dilihat tidak serancak dulu.

Jika sekitar tahun 1990-an, pendengar muzik di Malaysia disajikan dengan lagu-lagu nyanyian kumpulan Feminin dan Elite yang mencipta fenomena luar biasa ketika itu.

Bagaimanapun, legasi itu kini dirancakkan dengan kehadiran kumpulan pop yang semakin mencipta nama, Dolla.

Dianggotai Sabronzo, Syasya, Taby dan Angel, kumpulan yang mengangkat muzik pop dan R&B ini semakin mendapat tempat di hati peminat tempatan sekali gus berjaya menembusi pasaran tempatan dan luar negara.

Walaupun kerjaya seni Dolla semakin mewangi dalam industri seni, namun satu perkara yang sering bermain di fikiran orang ramai adalah adakah hayat kumpulan yang dianggotai mereka mampu bertahan lama?

Sabronzo mengakui bukan mudah bagi penyanyi berkumpulan untuk kekal bersama, namun mereka sedaya-upaya cuba mempertahankan keberadaan mereka dalam industri hiburan.

"Kami sedia maklum bahawa tiada kumpulan pop wanita yang mampu untuk kekal selama-lamanya. Masing-masing akan ada misi dan impian untuk mencapai apa yang diinginkan.

"Impian kami ketika ini ialah cuba pertahankan Dolla selama yang mungkin agar kami dapat mencapai impian kami yang tertinggi," katanya.

Ditubuhkan pada April 2019, Dolla mencetus fenomena selepas single pertama Dolla, Make You Wanna 'meledak' di pasaran.

Single kedua berjudul Impikan menduduki tangga kedua 'trending' di YouTube Malaysia dalam tempoh sehari dilancarkan pada 30 Oktober tahun lalu.

Meraih perhatian media antarabangsa terutama Korea Selatan dengan jolokan jelmaan Blackpink, Dolla melancarkan single Impikan versi bahasa Inggeris yang diberi judul Watch Me Glow ciptaan Ludwig Lindell, Karl Oscar Gummesson dan Daniel Caesar.

Dolla mencipta sejarah apabila wajah mereka dipaparkan pada papan iklan digital tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS) sempena kempen EQUAL kendalian platform penstriman digital Spotify, September lalu.

Semakin meraih populariti mendadak, Dolla mengakui bersedia apabila kehidupan peribadinya akan diperhati rapat oleh orang luar.

DOLLA mengakui setiap anggota mempunyai kekuatan tersendiri.
DOLLA mengakui setiap anggota mempunyai kekuatan tersendiri.

"Kami sudah boleh jangka perkara sedemikian akan berlaku pada awal-awal Dolla ditubuhkan lagi. Kami rasa okay saja sebabnya kami pun tiada perkara yang ingin disorokkan pada peminat.

"Kami jenis yang 'real'. Apa yang ditonjolkan di media sosial, itulah diri kami yang sebenarnya. Kami juga tidak akan sorok kalau ada teman lelaki misalnya. Cuma belum ada (teman istimewa), jadi belum tahu bagaimana," katanya.

Di sebalik kejayaan yang diraih secara berkumpulan, setiap anggota juga dikurniakan rezeki masing-masing.

Bagaimanapun, Dolla menjelaskan mereka bukanlah 'spesies' wanita yang kuat cemburu atau iri hati terhadap kejayaan salah seorang anggota kumpulan mereka.

Tabby berkata, pihak pengurusan mereka, Universal Music sentiasa memberi peluang sama rata.

Walaupun salah seorang daripada mereka lebih menyerlah, tapi setiap kejayaan dikongsi bersama dan menjadi milik Dolla.

"Lagipun kami memang bersatu hati dalam menaikkan nama Dolla walaupun salah seorang mendapat lebih banyak peluang.

"Kami juga faham yang setiap daripada kami mempunyai kekuatan yang berbeza-beza. Kami bukan wanita yang kuat cemburu," katanya.

Baru dua tahun dah menang anugerah

Siapa sangka, selepas dua tahun dalam industri hiburan, Dolla meraih kejayaan sulung apabila memenangi trofi Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34, Sabtu lalu.

Mereka menewaskan pesaing Aisha Retno, Norreen Iman, Loca B dan Farisha Iris.

Tabby berkata, itu adalah anugerah pertama diterima selepas dua tahun memeriahkan industri hiburan tempatan dengan single sulung.

"Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur, Universal Music, keluarga dan paling penting kelab peminat, iDolla yang tidak pernah berhenti menyokong kami.

"Ini hanyalah permulaan daripada kami dan pastinya akan berusaha lebih lagi untuk menggembirakan anda semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 6:00 AM