Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Belum dua tahun kemunculannya, kumpulan penyanyi wanita, Dolla semakin mendapat perhatian apabila muncul dengan telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow yang mengangkat kisah hidup mereka.

Apa yang pasti, fenomena yang dicipta kumpulan dianggotai Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angel melayakkan mereka mendapat penghormatan itu.

Sabronzo berkata, dia tidak menyangka pihak Astro dan Zeel Production menunjukkan minat untuk mengangkat kisah hidup mereka dalam telefilem.

"Apabila pihak Universal Music (syarikat rakaman) memaklumkan mengenai tawaran Astro, kami sangat terkejut. Bukan apa, jika hendak dibandingkan dengan kumpulan atau penyanyi lain, kami masih terlalu hijau dan kerdil.

"Lagipun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan. Jadi, kami merasakan Dolla belum layak untuk menerima pengiktirafan sejauh itu. Bagaimanapun kami tetap berbangga sekurang-kurangnya ada pihak yang mengiktiraf bakat kami," katanya.

Menurut Sabronzo, semestinya pengalaman pertama menjalani penggambaran agak kekok. Ini kerana mereka tidak pernah berlakon dengan serius sebelum ini.

Namun, mereka bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar daripada produksi.

Sabronzo berkata, mereka juga bersedia berdepan kritikan penonton dengan lakonan sulung itu.

"Tidak dinafikan bukan mudah untuk bergelar pelakon. Apatah lagi ini adalah pengalaman pertama semua anggota Dolla. Nasib baik pengarah dan kru banyak membantu, jadi kami berjaya juga menghayati watak masing-masing.

"Bagi saya bahagian paling sukar apabila babak menangis. Saya kagum dengan Tabby dan Syasya sebab mereka boleh melakonkan adegan menangis dengan baik.

"Kami sudah bersedia dikritik dan tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami kayu selepas menonton lakonan pertama kami. Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran kami, jadi biasalah jika penonton merasakan mutu lakonan kami belum memuaskan, " katanya.

Jalan cerita telefilem itu hampir 70 peratus mengenai kisah hidup anggota kumpulan itu, manakala 30 peratus lagi ditokok tambah bagi mewarnai telefilem itu sekali gus menjadikan jalan ceritanya lebih menarik.

"Bagi kami tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada penonton, jadi apa yang bakal peminat saksikan nanti memang kisah hidup sebenar kami," katanya.

Dolla Watch Me Glow bakal ditayangkan jam 9 malam esok menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD.

Selain Dolla, telefilem arahan Izuan Mokhtar itu turut dibintangi Fauziah Nawi, Angeline Tan, Aniq Suhair, Azwan Ali, Catriona Ross, Aida Aris dan Douglas Lim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 12:25 PM