KUMPULAN Dolla
KUMPULAN Dolla
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Kumpulan Dolla yang dianggotai Sabronzo, Angel, Syasya dan Tabby mendedahkan mereka bukan 'spesies' wanita yang kuat cemburu atau iri hati terhadap kejayaan salah seorang anggota kumpulan mereka.

Tabby yang mewakili Dolla menegaskan, setiap anggota memiliki kekuatan dan peluang berbeza-beza.

"Pihak pengurusan kami, Universal Music sentiasa memberi kami peluang sama rata. Walaupun salah seorang daripada kami lebih menyerlah, tapi setiap kejayaan dikongsi bersama dan menjadi milik Dolla.

"Lagipun kami memang bersatu hati dalam menaikkan nama Dolla walaupun salah seorang mendapat lebih banyak peluang.

"Kami juga faham yang setiap daripada kami mempunyai kekuatan yang berbeza-beza. Kami bukan wanita yang kuat cemburu," katanya.

Ditanya sejauh mana sokongan sesama ahli kumpulan akan berterusan terutamanya dalam soal kerjaya seni, Sabronzo pula mengakui bukan hal mudah untuk terus kekal bersama, namun mereka cuba pertahankannya.

"Kami sedia maklum bahawa tiada kumpulan pop wanita yang mampu untuk kekal selama-lamanya. Masing-masing akan ada misi dan impian untuk mencapai apa yang diinginkan. Impian kami pada ketika ini adalah cuba pertahankan Dolla selama yang mungkin dan mencipta kejayaan tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 3:22 PM