Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Lana Nodin mengalami jangkitan kuman pada bahagian usus sehingga terpaksa menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di sini, hari ini.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin, 46, berkata, dia buntu dan tidak tahu bagaimana boleh jatuh sakit secara tiba-tiba. 

"Doktor sahkan saya ada jangkitan pada bahagian usus sehingga ia bengkak. Tidak tahu puncanya dari mana. Mungkin salah makan.

"Saya tak boleh bangun sejak empat hari sebelum ini. Sekarang tak boleh balik rumah selagi usus masih bengkak," katanya.

Lana berkongsi perkara itu menerusi video terbaharu yang dimuat naik di Instagram, malam ini.

Dalam keadaan yang masih lemah dan kerap kali batuk, Lana memohon orang ramai mendoakan agar dia segera sembuh.

"Terima kasih kepada yang bertanya khabar. Doakan saya semoga cepat sembuh dan dapat pulang ke rumah bersama keluarga.

"Saya mohon maaf kepada semua terutama rakan media dan artis kerana tidak dapat membalas mesej dan menjawab panggilan kalian," katanya.

Terdahulu, pengurus Lana memberitahu Lana terpaksa dikejarkan ke hospital selepas tiba-tiba mengalami kesakitan yang teruk pagi tadi dan tidak tahu punca penyakit yang dihadapi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:14 PM