Oleh Amirul Haswendy Ashari


Penyanyi bersuara lantang, Azlan daripada kumpulan The Typewriter tidak pernah kecewa biarpun ada lagunya tidak mendapat sambutan radio swasta tempatan seperti single Melankoli yang di­ciptanya awal tahun ini.

Jelas Azlan atau Nor Azlan Rosle, dia mempunyai mekanisma tersendiri dalam mempromosi lagu yang dianggap bergenre rock eksperimentasi itu.

Katanya, apabila seseorang artis mengeluarkan produk (lagu), pasti ada cara pemasaran sendiri seperti memberi tumpuan pada radio tempatan yang sedia ada.

“Saya tidak nafikan ada yang beranggap ia buatkan saya rasa terasing tapi jujurnya saya tidak kesah. Saya tahu kedudukan lagu saya di mana dan untuk apa ia dihasilkan.

“Apabila saya hasilkan lagu, saya mahu mengajak pendengar untuk menghargai muzik. Pada mulanya orang mungkin tidak faham muzik saya tapi lambat-laun ia tidak lagi mustahil.

“Ambil contoh lagu ciptaan Tan Sri P.Ramlee. Bagi saya, lagu-lagu ciptaan seniman hebat itu banyak merupakan eksperimentasi, terutama dalam me­nyelitkan elemen tradisional dan moden seperti jazz dan blues, dan ia kekal hidup sampai sekarang,” katanya.

Azlan akui lagunya sebelum ini seperti Tanda Tanya pernah dijadikan bahan kajian sesetengah pemikir muzik tempatan kerana hasilnya berbeza daripada muzik sedia ada.

Bagaimanapun, Azlan menafikan tujuan menghasilkan lagu-lagu eksperimentasi kerana beranggapan lagu-lagu baru tercipta masa kini tidak ada nilai dari segi ilmu dan kualiti.

Katanya, biarpun namanya kurang diperkatakan masa ini, dia tetap bersyukur kerana berkat pembabitan dan kemenangan di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23, AJL25 dan terbaru AJL27 lalu, nama­nya tetap subur dalam khalayak penggiat muzik.

“Pentas AJL banyak membantu memudahkan kerja saya mendidik pendengar mengenai muzik. Selain masih lagi membuat persembahan, saya juga sudah mula berjinak-jinak dengan dunia penerbitan lagu.

“Asasnya saya menerbitkan lagu kerana mahu mencuba dan belum lagi terfikir untuk menjadikan ia kerja tetap,” katanya.

Mendapat pendidikan jurusan Diploma Teknologi Pengurusan, Azlan mula dikenali melalui kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) dan kini penyanyi utama kumpulan Azlan & The Typewriter.

Mengenai pembabitannya sebagai penerbit lagu penyanyi baru dan lama, Azlan akui kerjaya itu bagai satu hobi yang membuatkannya cepat ketagih.

Mengambil contoh Datuk M.Nasir yang kini lebih aktif menerbitkan lagu untuk penyanyi baru dan lama, Azlan tidak menolak kemungkinan untuk mengikut jejak sama satu hari nanti.

“Terbaru saya terbitkan album untuk Firman AF, Zarif AF dan Airil AF. Sebelum ini kumpulan The Lomas melalui album khas A Tribute To Saloma, tahun lalu.

“Kini saya cuba pula terbitkan lagu runut untuk filem Juvana 2 berjudul Mata Hati. Sebelum ini saya pernah menghasilkan lagu runut untuk filem Hoore Hoore, dua tahun lalu,” katanya.

Kata Azlan, penghasilan lagu untuk Juvana 2 lebih sukar kerana mahukan yang lebih bercorak ‘radio friendly’ atau mesra radio supaya boleh dimainkan di kebanyakan radio tempatan.

Katanya, ia berbeza dengan lagu-lagu ciptaannya sebelum ini. Apatah lagi ia perlu kedengaran lebih pop tetapi masih mempunyai eleman rock yang sebati dengan jiwanya sedari dulu.

“Saya buat kajian dengan menonton filem Juvana dan drama rantaiannya sebelum ini untuk memahami konteks cerita. Ia siap sepenuhnya selama sebulan dan saya anggap ia lagu yang mencabar kredibiliti serta agak berisiko untuk diri saya sendiri,” katanya.

Azlan juga akui lirik Mata Hati agak kasar antaranya terselit perkataan celaka. Katanya, ia mempunyai niat yang murni untuk pendengar memahami konteks filem itu sepenuhnya.

“Lirik Mata Hati mempunyai beberapa elemen dan maksud tersirat dan saya bersedia untuk dikritik atau diperkatakan selepas ini.

“Seperti beraninya filem ini bercerita mengenai isu sosial, saya sahut cabaran menghasilkan Mata Hati supaya seiring dengan keunikan jalan ceritanya,” katanya.

Dalam pada itu, Azlan kini dalam persiapan menghasilkan single terbaru bergenre rock eksperimentasi dan dijangka siap awal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:05 AM