Adira Suhaimi
Adira Suhaimi

Zaara Talita

[email protected]

Kuala Lumpur: Penyanyi Adira Suhaimi berkongsi keterujaan menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah buat pertama kali bagi menunaikan ibadah umrah pada hari raya kelima.

Adira atau Siti Adira Suhaimi, 33, menganggap peluang mengerjakan umrah pada bulan Syawal sebagai rezeki dan enggan melepaskan peluang keemasan itu.

"Alhamdulillah diatas peluang yang diberikan ini, saya berangkat ke Makkah menunaikan umrah. Jadi hanya empat hari sahaja masa yang dapat diluangkan bersama keluarga.

"Sukar untuk saya kongsikan ketenangan dan kegembiraan dapat menjejakkan kaki ke sini. Saya pergi bersama kawan-kawan sebab masa raya ini sahaja saya ada cuti panjang sikit. Kalau ikutkan jadual saya memang padat, jadi bila ada masa saya terus buat keputusan untuk pergi," kata Adira.

Dalam pada itu, Adira berharap dia dapat memberi tumpuan kepada ibadah sepanjang di Makkah tanpa memikirkan masalah lain.

Malah Adira turut meletakkan kepercayaan dan memberikan amanah kepada kakaknya iaitu Emma Suhaimi untuk menjaga empat orang anaknya.

"Saya harap saya dapat fokus kepada ibadah saya nanti. Bukan saja Emma, malah anak-anak akan turut dijaga oleh ayah mereka. Malah, pembantu rumah juga ada untuk membantu.

"Bukan apa, pertama kali berjauhan dengan anak-anak, banyak yang berlegaran di minda. Namun, saya berdoa segala urusan saya di sini dipermudahkan," kata Adira yang turut memohon maaf dan berharap urusannya dipermudahkan.

Sebelum ke Tanah Suci, Adira memberitahu dia meraikan Aidilfitri terlebih dahulu bersama keluarga di Kuching, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 4:38 PM