Adira tenang, positif hadapi dugaan rumah tangga, terus fokus besarkan empat anak
Adira tenang, positif hadapi dugaan rumah tangga, terus fokus besarkan empat anak
Ramlah Zainal


Walaupun berdepan kemelut rumah tangga, penyanyi, Adira Suhaimi, 33, tetap kekal tenang dan positif untuk terus melangkah demi membesarkan empat anaknya yang masih kecil.

Adira berkata, fokusnya sekarang adalah untuk membahagiakan diri sendiri, anak-anak dan mengukuhkan nama serta karier nyanyiannya.

"Saya letakkan isu rumah tangga di tepi kerana tidak mahu lari dari fokus untuk kehidupan yang sihat bersama anak-anak.

"Kalau nak 'down' saya tak boleh pergi mana pun. Boleh untuk melayan perasaan sekejap, tapi jangan sampai mengganggu rutin harian sebagai ibu. Saya ada banyak tanggung jawab iaitu kepada anak-anak, kerjaya seni dan banyak jenama yang saya nak kena jaga.

"Apa yang jadi sekarang, saya hanya 'go with the flow'. Saya lebih suka bekerja dan sibukkan diri ketika ini," katanya.

Ditanya di mana dia mendapat kekuatan itu, Adira berkata, anak-anak dan ahli keluarga terdekat menjadi sumber kekuatannya selama ini.

"Saya mengumpul kekuatan bukan dalam tempoh seminggu dua, tapi sudah bertahun lamanya. Saya sudah lali dengan apa yang berlaku dalam rumah tangga. Benda dah jadi kita nak buat macam mana takkan nak meratapi dan buang masa kat situ?" katanya.

Mengenai penerimaan ahli keluarganya pula, Adira berkata, ibu dan ahli keluarga terdekat sentiasa menyokongnya.

"Emak sangat menghormati 'privacy' rumah tangga saya dan suami. Dia juga tidak pernah masuk campur dan beri ruang kami selesaikan sendiri sebab masing-masing sudah dewasa dan matang dalam membuat keputusan.

"Cuma emak cakap, dia sentiasa ada jika saya perlukan pertolongannya. Bila mereka nampak saya gembira dan tenang saja, semua tidak risau dengan apa yang berlaku," katanya yang meraikan Aidilfitri tahun ini dengan berkumpul di rumah kakak dan abangnya di Kuching, Sarawak.

Semalam, Adira dan tiga rakannya berlepas ke Makkah untuk mengerjakan umrah.

"Saya hanya sempat beraya bersama keluarga selama empat hari. Kami buat umrah 'DIY' saja kerana kosnya lebih murah. Kali pertama saya buat umrah ketika bujang dulu.

"Saya hanya mahu fokus pada ibadah dan tidak bawa anak-anak. Saya tidak risau tinggalkan mereka kerana ada pembantu rumah dan kakak serta kakak ipar untuk tengokkan mereka," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kes perceraiannya, Adira berkata, dia tetap dengan keputusannya untuk bercerai di mahkamah.

"Saya harapkan semua berjalan lancar dan kes selesai dengan cepat. Kita hanya merancang dan Allah yang menentukannya.

"Apa pun yang berlaku nanti, kami masih berkawan demi anak-anak. Datuk Red (suami) juga bebas untuk berjumpa anak-anak.

"Kami juga tidak akan ada isu berebut anak kerana saya mahu jaga kesihatan mental mereka. Saya mahu anak-anak dapat kasih sayang ayah dan ibu dan kalau boleh kami sama-sama jaga anak-anak selepas kes selesai nanti," katanya.

MAHU fokus pada kehidupan sihat bersama anak-anak.
MAHU fokus pada kehidupan sihat bersama anak-anak.

Adira dan Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5 dan, Ayob yang kini berusia dua tahun.

Adira memfailkan perceraian terhadap suaminya pada 25 Oktober tahun lalu.

Pada masa sama, laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara Adira dengan Datuk Red juga menemui jalan buntu apabila mereka tetap dengan pendirian masing-masing.

Susulan itu, kes mereka diteruskan dengan lantikan hakam di mahkamah pada 24 April ini.

Rezeki murah dalam bidang seni

Isu rumah tangga juga tidak menjejaskan karier seni Adira ketika ini.

Malah, dia bersyukur kerana terus mendapat kepercayaan dari beberapa jenama selaku duta produk tahun ini.

"Isu rumah tangga tidak jejaskan karier kerana saya tidak melayan sangat perasaan. Kalau kita beri ruang untuk orang pandang negatif, ia boleh jejaskan reputasi kerana saya juga duta produk beberapa jenama.

"Lebih baik saya fokus selaku duta produk dan jayakan kempen kerana ia punca pendapatan untuk menyara keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Adira sudah merakamkan beberapa lagu baharu.

"Saya juga akan keluar lagu untuk runut bunyi (OST) drama dan filem juga. Lagu duet dengan Hafiz Suip juga untuk OST drama, tapi saya tidak boleh kongsi secara terperinci lagi," katanya.

Ditanya perancangan masa depan, kata Adira, dia mahu mengukuhkan kewangan keluarganya terlebih dulu.

"Sebenarnya dari bujang lagi, saya sangat berjimat cermat. Sebagai wanita yang bergelar ibu, saya juga perlu bekerja keras menyediakan segala keperluan dan pendidikan anak-anak dan pastikan mereka dapat hidup lebih selesa nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 6:00 AM