DATUK Freddie Fernandez
DATUK Freddie Fernandez
Najiy Jefri

najiy.jefri@hmetro.,com.my

Kuala Lumpur : Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendedahkan dia sekali lagi berdepan kes saman fitnah yang difailkan badan pelesenan muzik tanah air iaitu Public Performance Malaysia Berhad (PPM) berikutan kenyataannya mengenai 'ketidakadilan' pengurusan royalti kepada artis.

Freddie berkata, dia dan persatuannya akan menjalani perbicaraan pertama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mei ini.

"Apabila saya suarakan mengenai ketidakadilan di media, saya akan menerima surat saman. Sudah empat kali saya disaman mengenai perkara berkaitan royalti ini sejak memperjuangkan isu ini 20 tahun lalu.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Ito Blues Gang dan Othman Masri atau Man Senoi kerana menjadi saksi utama. Semoga kami menghadapi dugaan ini dengan penuh tabah dan berjaya mengetepikan semua tuduhan. Terima kasih juga kepada peguam yang sudi mewakili kami dengan bayaran yang minima," katanya.

Menurutnya, walaupun sudah beberapa kali berdepan tindakan saman, namun dia tidak serik atau takut sebaliknya bertekad untuk memperjuangkan isu royalti sehingga selesai.

"Kami tetap akan mempertahankan sebab ramai artis yang masih tidak mendapat royalti. Itu yang kami persoalkan.

"Sudah 24 tahun perkara ini berlanjutan. Contohnya penyanyi dan pemain dram Freedon, Shuib satu sen pun tak dapat selama 24 tahun. Siapa punya salah saya pun tak tahu," katanya.

Dalam pada itu, Freddie menyambut baik usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang mencari jalan untuk isu berkaitan pembahagian royalti muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 1:22 PM