Datuk Freddie Fernandez
Datuk Freddie Fernandez

Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia berharap Menteri Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan membantu artis dengan menyelesaikan masalah royalti yang berlarutan selama lebih 20 tahun.

"Kami rasa hanya Menteri mampu menyelesaikan masalah ini yang begitu rumit dan membabitkan penglibatan ramai badan serta pihak yang pernah mewakili golongan artis dalam hal kutipan royalti. Sebelum ini semua usaha dilakukan untuk menetapkan satu sistem kutipan dan pengagihan bagi royalti artis tidak begitu berhasil" kata Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez.

Sejarah hal royalti bagi artis bermula pada 2000 apabila Akta Hakcipta dipinda untuk memberi pelindungan kepada artis di mana artis juga berhak dibayar royalti selepas pencipta dan syarikat rakaman yang diberi pelindungan pada 1987 melalui dua badan iaitu MACP dan PPM.

Pada 2001 ditubuhkan sebuah badan yang bernama Performers and Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) untuk mewakili artis dalam hal kutipan royalti. Malangnya selepas sepuluh tahun beroperasi yang dibelenggu dengan pelbagai masalah Prism ditutup kerana tidak dapat menjalankan kutipan royalti lagi apabila pihak yang mengutip royalti bagi mereka iaitu PPM telah batalkan kontrak untuk buat kutipan bagi pihak Prism" kata Freddie.

"Selepas itu pada 2012 dua lagi badan baru ditubuhkan iaitu Performers Rights and Interests Society of Malaysia Bhd (Prism Bhd) dan Recording Performers Malaysia (RPM). Malangnya kedua-dua badan tidak dapat fungsi dengan baik kerana pengguna muzik tidak setuju bayar kepada terlalu banyak pihak."

"Pada 2016 kerajaan telah aturkan supaya keempat-empat badan yang kutip royalti iaitu MACP, PPM, Prism dan RPM digabungkan di bawah satu syarikat iaitu Music Rights Malaysia Bhd (MRM) yang menjadi badan tunggal yang buat kutipan bagi keempat-empat badan dengan satu formula perkongsian royalti ditetapkan oleh kerajaan.

"Pada 2017 keadaan jadi rumit lagi apabila Prism Bhd diarahkan tutup oleh mahkamah kerana tidak dapat bayar gantirugi kepada PPM kerana langgar hakciptanya."

"Perkembangan ini telah membawa satu masalah besar kepada lebih 1000 ahli Prism kerana mereka tidak lagi mempunyai badan yang mewakili mereka dalam hal kutipan royalti.  Pada 2020 giliran MRM pula untuk ditutupkan operasi dan selepas itu setiap badan tiada pilihan selain balik kepada lakukan kutipan royalti sendiri.

"Ahli Prism Bhd masih lagi harapkan royalti hasil kutipan yang telah dikutip sebelum Prism ditutup tetapi atas kehilangan rekod selepas penutupan badan itu ramai ahli belum lagi dapat perolehi royalti hasil kutipan Prism. RPM pula telah menerima bayaran hasil kutipan dari MRM tetapi sehingga kini belum lagi berjaya mengagihkannya dengan sepenuhnya."

"Kami berharap Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan campur tangan untuk bantu menyelesaikan masalah ini dengan menentukan satu kaedah baharu di mana semua artis, tak kira ahli Prism Bhd atau RPM Bhd disatukan di dalam satu badan dan diberi pelindungan kepada karya mereka. 

"Itulah jalan terbaik yang kami lihat pada waktu ini" tambahnya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 5:33 PM