SINGLE berjudul Jangan Risau gandingan Aniq, Adnin tampil dengan sedikit kelainan.
SINGLE berjudul Jangan Risau gandingan Aniq, Adnin tampil dengan sedikit kelainan.
Najiy Jefri


Tidak mahu tampil dengan karya tipikal dan suram, penyanyi dan pendakwah muda, Aniq Muhai dan ustaz Adnin Roslan nekad untuk mencipta kelainan menerusi single terbaharu berjudul Jangan Risau.

Tampil berbeza dengan lambakan karya nasyid sedia ada, Jangan Risau membawakan irama nasyid yang berentak rancak dan energetik, sesuai dengan cita rasa pendengar masa kini.

Sentiasa optimis untuk memartabatkan irama nasyid, Aniq berkata, lagu berunsur ketuhanan atau dakwah perlu diberikan nafas baru agar kekal relevan.

"Kita nak pecahkan stereotaip masyarakat yang dakwah ini tak semestinya kena lagu berentak balada ataupun melankolik sahaja. Sebenarnya banyak mesej-mesej dakwah yang boleh disampaikan dengan mood yang lebih ceria.

"Irama dan melodi seperti ini lebih mudah diterima oleh pendengar mungkin kerana mood lagunya yang lebih santai. Buktinya percubaan pertama saya menerusi lagu Kun Qowiyyan tahun lepas membuahkan hasil.

"Sehingga kini lagu Kun Qowiyyan terus mendahului Carta Nasyid Zayan setiap minggu selain pernah trending di YouTube Malaysia di awal kemunculannya tahun lalu.

"Mungkin sudah tiba masanya kita berikan nafas baru dalam penyampaian dakwah dan sebarkan positiviti dalam lagu Jangan Risau pula," katanya.

Turut berkolaborasi bersama Aniq Muhai ialah komposer dan pencipta lagu Jangan Risau iaitu ustaz Adnin Roslan.

Menurut komposer dan pempengaruh media sosial itu, beliau mencipta Jangan Risau menggambarkan cabaran yang dihadapi oleh mereka yang berhadapan kebimbangan melampau atau anxiety.

"Saya cipta Jangan Risau untuk orang yang menghadapi kebimbangan melampau yang terlebih memikirkan benda yang belum tentu terjadi.

"Disebabkan kerap fikir benda yang akan datang, membuatkan kita takut untuk buat keputusan dan pilihan hidup.

"Perasaan risau berlebihan ini akan buatkan kita semakin stres dan susah nak maju ke depan.

"Sebab itu saya cipta lagu dengan rentak sebegini. Lagu sedih, melayan perasaan sudah banyak di pasaran. Jadi kenapa tidak saya buat lagu gembira, sekurang-kurangnya pendengar tersenyum dan mendapat kekuatan diri," katanya.

Jangan Risau adalah sebuah karya yang memaparkan mesej yang positif dan memberi inspirasi kepada semua pendengar.

Lagu ini mengajak pendengar untuk tidak bimbang dan sentiasa yakin dengan hikmah dan takdir yang Allah SWT berikan.

Melalui lirik yang santai dan irama yang ceria, Jangan Risau terbitan Tarbiah Sentap Records itu diharapkan dapat menjadi lagu yang memberikan ketenangan dan kekuatan kepada setiap pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 6:20 AM