PUTERI Balqis.
PUTERI Balqis.

Kuala Lumpur: Pelakon remaja, Puteri Balqis Ashikin menyeru agar pelakon wanita tidak bersikap mengada-ngada terutamanya dengan pelakon dan kru lelaki yang berstatus suami orang. 

Balqis, 17, meluahkan kata-kata itu menerusi hantaran di Instagram Storynya. 

"Satu benda, bila berada dalam industri, tidak kira usia, sama ada belasan tahun atau lebih berumur, kita berhadapan dengan pelakon-pelakon lelaki dan kru-kru lelaki yang berstatus suami orang. 

"Elakkan mengada-ngada atau cuba menggoda mereka. Kalau mereka cuba hampir dengan kita dan bukan kerana urusan kerja, lari. 

"Menyoroklah mana-mana, belakang lori ke, duduk dalam bilik atau kereta," tulisnya. 

Tambah Balqis, sebagai wanita, dia berharap agar wanita di luar sana menjadi kuat untuk tidak terjebak dalam kecurangan rumah tangga wanita lain dan akan bertindak sekiranya ada yang cuba menggatal dengannya. 

"Kalau yang lelaki tak boleh setia, kita sebagai wanita, kasihanilah isteri-isteri mereka yang mengharapkan kesetiaan. Kita yang kena kuatkan diri. 

"Kalau aku, suami orang menggatal, aku maki terus. Tak kisahlah pelakon atau kru. Hati dan perasaan isteri mereka lebih penting," tulisnya. 

Balqis bagaimanapun tidak memberikan sebarang konteks atau situasi mengenai tujuan, kenapa dia menulis dan memuat naik hantaran itu. 

Semalam, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita penangkapan dua pelakon yang didakwa berkhalwat di sebuah kondominium mewah. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 10:59 AM