Puteri Balqis
Puteri Balqis

Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Balqis, 16, terima pelbagai hinaan hanya kerana kerap bertutur dalam bahasa Inggeris termasuk memperlekeh wajahnya.

Balqis atau nama sebenarnya Puteri Balqis Azizi berkata dia takkan berkompromi dengan cercaan sebegitu dan tidak teragak-agak terus menyekat mana-mana individu yang menghina.

"Sebagai contoh apabila saya bertutur dalam bahasa Inggeris kerana sudah terbiasa dan orang mengejek, saya akan terus sekat.

"Saya dapat komen seperti 'pengemis', 'budak flat', 'muka sampah' ataupun budak kampung yang tidak perlu acah cakap Inggeris. Belajar bahasa lain juga penting sebagai ilmu pengetahuan.

"Orang putih pun pandai cakap Melayu kerana mereka mahu belajar bahasa kita. Jadi, apa salahnya kita belajar bahasa lain? Tak semestinya belajar bahasa kedua kita lebih agungkan negara mereka," katanya.

Pelakon drama Terlanjur Cinta itu juga akui terpaksa memadam ratusan komen setiap hari kerana enggan media sosialnya dicemari hal negatif.

Baginya, media sosial adalah ruangan yang cukup peribadi buatnya dan tidak alu-alukan mana-mana individu meninggalkan aura kurang menyenangkan.

"Setiap hari saya akan padam lebih daripada 300 komen terutama sekali yang menghina pendidikan saya. Disebabkan itu tidak nampak sebarang komen negatif dalam media sosial saya kerana saya padam atau sekat.

"Saya anggap laman sosial saya kampung dan diari. Di situ memang tempat selamat bagi saya, jadi tidak mungkin saya akan biarkan mereka berkampung dalam laman sosial saya," katanya.

Perkongsian itu dibuatnya menerusi sebuah hantaran video di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 12:10 PM