Ifa Raziah.
Ifa Raziah.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara sensasi, Ifa Raziah mempersoalkan apakah tindakannya membatalkan janji temu vaksinasi di saat akhir satu kesalahan sehingga menerima kecaman hebat warganet.

Ifa yang turut dikenali sebagai Miss Diva ketika dihubungi, berkata dia mempunyai alasan tersendiri untuk mendapatkan vaksin Pfizer dan bukannya sengaja mengada-ngada tidak mahu menerima Sinovac.

"Ada sebab saya terpaksa mohon Pfizer ini. Pertamanya, kerana saya ada alahan teruk dengan ubat ubatan.

"Kedua, saya selalu berulang alik dari Malaysia-Singapura atas urusan perniagaan. Dan ketiganya, saya nak buat ibadah haji. Jadi, itulah sebab utamanya saya kena amik Pfizer," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu menerusi video TikTok, Ifa memberitahu membatalkan niat mengambil vaksin disebabkan kekeliruan dan salah faham yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Video yang tular di media sosial itu, bagaimanapun dinafikan Ifa yang menjelaskan tindakannya itu tiada kena mengena dengan memilih jenis vaksin.

"Miss Diva terpaksa batalkan vaksin hari ini (Sabtu lalu) kerana tidak dapat suntikan Pfizer di MITEC. Bukannya mengada-ngada tak mahu ambil vaksin," tulisnya.

Mengulas lanjut isu ini, Ifa berkata, semalam doktor sendiri menulis surat pengesahan buatnya untuk dihantar ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya sekarang hanya tunggu tarikh janji temu dalam MySejahtera untuk dapat vaksin Pfizer.

"Bagaimanapun saya kena pergi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam masa 30 hari apabila MySejahtera dikemas kini.

"Jadi, dimanakah kesalahan saya?" jelasnya.

Ifa berkata, kekeliruan berlaku apabila dia diberitahu akan menerima vaksin Sinovac apabila berada di PPV, MITEC itu.

"Kalau saya dapat Sinovac, nanti saya tak boleh pergi haji dan tak boleh pergi Singapura apabila pintu sempadan dah buka.

"Memang kalau nak pergi haji, pihak Tabung Haji akan bagi Pfizer untuk jemaah. Disebabkan sekarang ini kita tak boleh lagi nak pergi haji, itulah sebabnya saya nak dapatkan vaksin Pfizer," katanya.

Menurutnya, dia tidak ambil peduli langsung dengan kecaman warganet kerana yang paling penting dia mahu jaga kesihatan dan ambil vaksin yang disarankan oleh doktor.

"Esok, lusa warganet dah lupa pasal isu ini. Yang penting saya dapat Pfizer. Dan saya, tiada niat nak menghasut rakyat Malaysia agar jangan ambil vaksin sebab saya sendiri pun nak ambil vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 4:32 PM