Aprena Manrose
Aprena Manrose
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : "Mulut orang memang kita tak boleh nak tutup. Jika tiada mulut orang (kecaman), kita okay saja sebenarnya," kata pelakon, Aprena Manrose, 30, mengenai kecaman segelintir netizen terhadap pelakon yang juga sepupunya, Uqasha Senrose kerana masih belum memiliki anak selepas dua tahun berkahwin.

Aprena atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, dia ada menasihatkan Uqasha supaya sentiasa kuat dalam berdepan perkara itu.

"Saya sudah tujuh tahun berkahwin, Uqasha pula baru dua tahun. Kalau tujuh tahun (tiada anak) pun, saya boleh sabar menahan mulut orang, dia pasti boleh," katanya kepada Harian Metro.

Aprena juga mengakui soal anak sangat sensitif buat wanita yang sudah lama berkahwin.

"Selalu juga saya pesan, dia baru dua tahun kahwin dan perlu banyak bersabar. Kalau Allah nak beri, dia akan bagi dan kalau tidak, maksudnya belum masanya lagi," katanya.

Dalam masa sama, Aprena juga sedih kerana belum dianugerahkan rezeki untuk menimang cahaya mata.

Menurutnya, dia pernah melakukan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) tahun lalu tetapi masih belum berhasil untuk hamil.

"Sebenarnya, saya berehat seketika dari bidang lakonan sebelum ini kerana menjalani rawatan IVF. Namun, saya baru buat rawatan itu sekali kalau nak dibandingkan wanita lain yang sudah berkali-kali melakukannya.

"Mungkin Allah tahu kita belum mampu dari aspek kewangan atau kemampuan untuk menjaga anak. Saya selalu fikir begitu supaya tidak terlalu tertekan," katanya.

Terdahulu, Uqasha pernah menerima komen berbaur sindiran daripada segelintir individu yang mempertikai dia masih belum dikurniakan anak selepas dua tahun berkahwin dengan pelakon, Kamal Adli.

Bukan itu saja, komen netizen juga turut menyindir dengan memetik nama adik-beradik dan keluarga Uqasha seperti Nelydia Senrose dan Aprena yang masih belum menimang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 2:02 PM