AINA Abdul. FOTO Arkib NSTP
AINA Abdul. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur : "Setiap kali selesai penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL), keesokannya perasaan gembira itu tidak bertahan lama. Ia agak menyedihkan," kata penyanyi, Aina Abdul yang terpaksa menerima hakikat apabila wujud pihak yang cuba mempertikaikan kemenangannya di pentas AJL ke-38 (AJL38) yang berlangsung Ahad lalu.

Lebih menyedihkan apabila terdapat segelintir individu yang cuba melaga-lagakan dirinya dengan Ernie Zakri.

Aina berkata, sebagai manusia biasa dia tidak dapat lari dengan kritikan dan komen negatif netizen.

"Saya sepatutnya tidak perlu terkesan dengan komen-komen netizen tapi saya hanya manusia biasa. Ernie adalah kawan saya. Setiap kali saya dibanding-bandingkan, saya akan cuba menukar perasaan itu dengan mengingati perkara-perkara yang indah saja. Itu juga yang akan saya buat bila rasa sedih itu datang," katanya.

Pemenang tempat ketiga dan vokal terbaik pada edisi AJL38 itu ditemui media pada pertunjukkan fesyen Amber x Anna Jobling yang berlangsung di The Estate, di sini.

Menurut Aina, sebagai rakan dia berbangga dengan persembahan yang Ernie tampilkan pada edisi kali ini.

"Pada malam itu, Ernie melakukan persembahan dengan sangat baik. Saya tak tahulah orang lain, tapi saya sayang Ernie sebagai seorang sahabat.

"Saya bangga dengan apa yang Ernie lakukan di atas pentas. Dia adalah antara sahabat rapat dalam industri dan dalam hidup saya.

"Saya tahu susah-payah dan semangat Ernie untuk bertanding di AJL38 walaupun dengan apa yang terjadi ketika pusingan separuh akhir. Dia memang nak sangat berada di AJL38," katanya.

Walaupun penat apabila dirinya sering dibandingkan dengan penyanyi itu, namun Aina cuba berfikiran positif dan fokus kepada dirinya.

"Peminat boleh bandingkan kami tapi saya tak boleh buat apa-apa. Dalam pertandingan, saya hanya fokus kepada diri sendiri. Saya ada tanggungjawab.

"Bila kemenangan berpihak kepada saya atau mendapat anugerah vokal terbaik, itu tak bermakna saya lebih bagus daripada orang lain. Ini adalah rezeki yang Allah bagi.

"Percayalah Ernie bagus dengan caranya tersendiri. Kepada mulut orang luar yang bercakap perkara negatif, mereka bukan peminat sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 11:15 AM