Hidayah bersama anaknya,  Syed Uthman Hamzah.  Foto dari Instagram  Hidayah
Hidayah bersama anaknya, Syed Uthman Hamzah. Foto dari Instagram Hidayah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali atau Hidayah, 32, terus memohon adik iparnya, Ali Puteh supaya membuat pembayaran segera hutang saman dimenanginya yang hingga kini belum dilunaskan lagi.

Hidayah berkata, wang berkenaan yang dituntut itu adalah milik anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, 3, yang juga anak tunggal bersama suaminya, Allahyarham Abam Bocey.

"Untuk pihak sana, dia (Ali) masih lagi belum melangsaikan hutangnya (saman) dan bagi pihak saya pula, meminta agar dia dapat selesaikanlah apa yang tertangguh itu.

"Harapan saya agar dia selesaikanlah bayaran hutang (saman) dengan segera supaya selepas ini kita boleh bawa haluan masing-masing sebab dah berlarutan berpanjangan sudah lama.

"Biarlah selesai dengan baik kerana di pihak saya tidak mahulah bermusuh-musuh. Sebab, Hamzah pun anak saudara dia. Saya pun hanya nak minta hutang saja. Ia untuk anak saya, bukan untuk saya," katanya ketika ditemubual program Melodi yang dikongsi pada hantaran di Instagram.

Menurut Hidayah, dia bukan berniat mahu tamakkan harta kerana bagi dirinya sendiri sudah memiliki harta peribadi menerusi perniagaan yang diusahakan kini yang diakuinya semakin maju.

"Saya tuntut (hutang) untuk anak saya saja, saya tak tamakkan harta pun sebab saya ada harta sendiri dengan perniagaan yang saya sendiri. Saya harap dia (Ali) selesaikan secara baiklah.

"Saya pun tak nak perkara macam ini terjadi, sebab kalau arwah suami ada pasti akan sedih juga, anak pun masih kecil lagi. Kalau boleh biarlah berbaik sebagai satu keluarga," katanya.

Hidayah turut mendoakan agar perniagaan diusahakan Ali sekarang ini berjaya.

Katanya, apabila sudah meraih kejayaan sila selesaikan semua hutang itu kerana tidak mahu lagi terus berpanjangan.

Berdasarkan maklumat pihak peguam mewakili Hidayah memaklumkan hutang saman yang perlu dibayar oleh Ali kepada kakak iparnya itu sebanyak RM75,000, namun sehingga kini masih belum dilunaskan.

Terdahulu, difahamkan pihak Ali mahu membuat pembayaran hutang itu dengan menggunakan kenderaan seperti motosikal, namun ditolak oleh Hidayah kerana berasakan ia tidak wajar.

Menerusi laporan Harian Metro pada Ogos lalu, Hidayah berkata, hutang antara mereka bukan seperti 'sistem barter' yang boleh dilangsaikan dengan membuat pertukaran barang tanpa membabitkan wang tunai.

Konflik Hidayah dan Ali tercetus selepas pelawak itu didakwa mengeluarkan kata-kata mengaibkan Hidayah di Instagram, dua tahun lalu yang memerlukan tindakan undang-undang diambil.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dan tiga ahli keluarga membayar RM60,000 kepada Hidayah yang menang kes saman itu pada 18 Februari tahun lalu.

Hidayah bernikah dengan Abam pada 8 Disember 2017, namun Abam meninggal dunia pada 10 Februari 2020 ketika berusia 32 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:51 PM