Melly Goeslaw bergambar selepas Majlis dan Sidang Media 'Apa Ada Dengan Melly and Friends' di Rumah Tangsi hari ini. FOTO BERNAMA
Melly Goeslaw bergambar selepas Majlis dan Sidang Media 'Apa Ada Dengan Melly and Friends' di Rumah Tangsi hari ini. FOTO BERNAMA
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer Indonesia, Melly Goeslaw, 50, tidak mengambil kisah dengan pandangan netizen yang mempertikai kemenangannya selepas merangkul Anugerah Hall Of Fame di Gempak Most Wanted Awards 2023 (GMWA2023), semalam.

Menurut Melly, dia terbuka dengan setiap komen serta kritikan netizen dan menganggap perbezaan pendapat itu harus diraikan.

"Saya kurang tertarik untuk berfikir mengenai perkara itu (kecaman). Pada saya secara peribadi, saya terbuka orangnya. Saya membuka diri untuk perkara baharu dan perkara yang berbeza dengan orang lain.

"Ini kerana saya juga harus menghargai perbezaan pendapat. Di Indonesia, ada juga beberapa anugerah yang diberikan kepada artis luar negara termasuklah dari Malaysia, Singapura, Filipina dan sebagainya.

"Keterbukaan di semua tempat harus diraikan untuk kita dapat berekspresi lebih luas lagi," katanya kepada Harian Metro.

Melly juga berkongsi, dia tidak membaca komen dan hanya menjalankan tugasnya untuk berkarya sahaja.

"Saya tak baca komen. Saya berkarya sahaja. Yang pasti, dalam kehidupan ini, saya boleh kawal apa yang keluar dari diri saya baik dari segi kehidupan, kerjaya dan lain-lain.

"Tetapi, orang lain kita tak boleh kawal. Pada saya, selama apa yang saya lakukan itu benar dan menginspirasi kepada banyak orang, Insya-Allah akan datang perkara yang baik juga," katanya.

Melly yang ditemani suami, Anto Hoed ditemui di Sidang Media Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends yang berlangsung di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur.

Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends akan berlangsung pada 1 Jun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil dan mengangkat tema Hari Graduasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 6:18 PM