GELAGAT peserta ketika menyertai maraton.
GELAGAT peserta ketika menyertai maraton.
Oleh Anis Nabilla Md Wazilah


Georgetown: Walaupun di negara asalnya dia seorang petani namun Alex Melly, 27, dari Kenya membuktikan dia juga seorang atlet disegani selepas menjuarai kategori lelaki pada Larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2014 (Maraton PP) di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, semalam.

Peserta benua Afrika menamatkan larian 42 kilometer tanpa sebarang masalah sekali gus menguasai tempat pertama hingga ketiga kategori maraton penuh terbuka lelaki dan wanita.

Bagi maraton penuh lelaki, juara milik Melly dengan masa dua jam 19 minit diikuti rakan senegara Hosea 2.21:22s dan Joseph Kiio Mutinda 2.21:26s.

Melly yang menetap di Eldoret gembira dengan kemenangan keduanya dalam larian itu dan tekad untuk terus membabitkan diri dalam acara maraton selepas ini.

“Saya pernah menjadi juara pada 2010, muncul naib juara pada 2011 sebelum berehat seketika dan tahun ini kembali beraksi dan lebih manis apabila saya muncul sebagai juara.

“Sejak tiga bulan lalu saya melakukan persiapan rapi untuk ke Pulau Pinang, antaranya berlari selama satu hingga dua jam setiap hari selain menyertai acara maraton di negara lain bagi menjaga stamina,” katanya.

Hadiah disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas sambil disaksikan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:06 AM