Alif (kanan) bersama Williams dan Na'im.
Alif (kanan) bersama Williams dan Na'im.
Ramlah Zainal

Seri Kembangan: "Alhamdulillah, Allah S.W.T sudah mendengar doa saya supaya brother Hamza (Sony Bill Williams) dapat bersama-sama menjayakan kempen #GengSubuhMacamJumaat ini," kata pengacara, penyanyi dan pelakon terkenal, Alif Satar.

Alif berkata demikian ketika diminta mengulas program Geng Subuh Macam Jumaat bersama bintang ragbi dunia, Sony Bill Williams anjuran Faith Events di Masjid Putra, Putrajaya awal pagi semalam.

Menurut Alif atau nama sebenar, Muhammad Alif Mohd Satar, 34, ketika mula-mula buat kempen #GengSubuhMacamJumaat itu, dia juga berdoa untuk membawa program itu ke peringkat dunia.

Katanya, selain Mufti Menk yang bercakap mengenai kempen itu, dia juga berdoa semoga Williams akan menyertai program berkenaan.

"Saya sangat bersyukur bila dapat tahu Faith Events mengundang Williams untuk menyertai program ini.

"Williams mempunyai pengaruh yang sangat besar, bermula dari kisah dirinya memeluk agama islam, kisah hidupnya juga menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai," kata Aif katika ditemui di lokasi penggambaran filem terbarunya Reeza arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan terbitan Grand Brilliance Studio Sdn Bhd semalam.

Kata Alif lagi, dia juga peminat setia Williams dan sudah lama mengikuti perkembangannya menerusi akaun Instagram miliknya.

"Walaupun kami baru kali pertama berjumpa tapi seperti sudah kenal lama.

"Beliau juga menyambut baik perancangan saya untuk meneruskan kempen ini hingga ke peringkat dunia.

"Terima kasih brother Hamza kerana sudi menjayakan kempen anjuran Faith Event ini di sini.

"Insya-Allah, semoga kempen mengajak golongan muda mengimarahkan masjid ini dapat diteruskan di New Zealand pula selepas ini," katanya.

Mengenai program itu lagi, kata Alif, dia juga dihubungi pihak Faith Events dan Jakim untuk menjayakan program berkenaan di Putrajaya.

Katanya, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk menjayakan program berkenaan walaupun terbabit dengan penggambaran.

"Secara kebetulan, saya habis penggambaran awal dan dekat pula dengan lokasi Putrajaya.

"Ramai geng subuh saya yang sertai program ini dan mereka bukan sekadar nak jumpa Williams atau saya sahaja tetapi kerana Allah," katanya.

Terdahulu, hampir 5,000 jemaah hadir bagi menjayakan kempen terbabit.

Dalam padanitu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Na'im Mokhtar berkata, antara daya penarik untuk kempen tersebut adalah kehadiran Sony Bill Williams yang turut serta dan memberi perkongsian dalam sesi tazkirah Subuh.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 10:14 AM