WILLIAMS meluangkan masa hampir sejam bersama hampir 60 pemain muda dari Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, hari ini. FOTO Amirul Fazli Zulkafli
WILLIAMS meluangkan masa hampir sejam bersama hampir 60 pemain muda dari Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) di Stadium Mini MSN Bukit Jalil, hari ini. FOTO Amirul Fazli Zulkafli
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Bekas bintang ragbi All Blacks, Sonny Bill Williams tidak menolak kemungkinan akan mengadakan kerjasama dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) pada masa datang.

Williams yang hadir ke Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) melihat Malaysia sememangnya mempunyai bakat muda yang baik dalam sukan ragbi meskipun ia bukan acara utama di negara ini.

"Apabila saya datang dan melihat secara langsung, ternyata terdapat bakat yang di sini. Jika saya datang sekali lagi, saya berharap dapat menonton beberapa kejohanan ragbi di sekolah, di kolej dan peringkat tertinggi.

"Ya, sudah pasti (kerjasama dengan KRM) Insyaallah, saya suka untuk datang kembali dan menjadi sebahagian daripada keluarga ragbi," katanya ketika ditemui pada Klinik Ragbi di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, Williams yang pernah bergelar juara ragbi Piala Dunia bersama New Zealand pada 2011 dan 2015 turut berpendapat biarpun mempunyai dana tidak begitu besar tapi dengan adanya program bermula dari akar umbi, ia akan mendatangkan hasil positif pada masa akan datang.

Pada masa sama, dia turut memaklumkan dirinya masih aktif dalam sukan tinju dan akan bertanding dalam beberapa perlawanan akan datang selepas isterinya memberi kebenaran.

Terdahulu, bekas pemain New Zealand yang terkenal dengan jolokan 'The Offload King' meluangkan masa hampir sejam bersama pemain hampir 60 pemain muda dari NRDP untuk berkongsi ilmu serta kemahiran dalam sukan ragbi.

Turut hadir sama pada program berkenaan adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 7:01 PM