Kumpulan Forteen
Kumpulan Forteen
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Kemunculan bekas anggota kumpulan Forteen, Izzue Islam dalam single terbaharu kumpulan Forteen, Noktah Epilog Cinta membuktikan hubungan mereka masih baik dan rapat.

Ahli kumpulan itu, Ameer, berkata, sejak ketiadaan Izzue dalam kumpulan itu, Forteen sudah hampir lima tahun tidak mengeluarkan single baharu.

"Kali terakhir Forteen tampil dengan single adalah pada tahun 2019, jadi ini adalah masa sesuai untuk kami muncul semula dengan satu buah tangan.

"Tapi apabila fikir semula tak lengkap kalau Forteen tampil bertiga sahaja, jadi kami ajak Izzue untuk jayakan projek ini.

"Kami pun sudah ibarat adik-beradik. Hubungan kami masih rapat. Ketika kami menyuarakan hasrat ini Izzue sangat berminat," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah terdapat kemungkinan Izzue akan kembali menyertai kumpulan itu, Ameer bagaimanapun meminta peminat mendoakan yang terbaik untuk mereka.

"Kalau nak ikutkan kami nak hasilkan lebih banyak single lagi. Namun itu semua terserah pada tuan punya badan sendiri.

"Setakat ini tiada perancangan untuk kembali berempat secara tetap, tapi Insya-Allah kalau ada rezeki untuk kami hasilkan single atau album dengan Izzue kenapa tidak?" katanya.

Selain Ameer dan Izzue, Forteen turut dianggotai Ariz Lufias dan One.

Untuk rekod, Izzue mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan Forteen sekitar tahun 2018 ketika segmen karpet merah final Gegar Vaganza musim kelima (GV5).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 11:31 AM