ANGGOTA kumpulan Forteen.
ANGGOTA kumpulan Forteen.
Rudy Imran Shamsudin


MESKIPUN tinggal bertiga, Saiful Ridzuan Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Ariz Lufias, Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One) dan Mohamad Arif Ameerais Azhar (Ameerais) nekad meneruskan perjuangan Forteen tanpa Izzue Islam.

Kebanyakan kumpulan ‘boyband’ sekiranya seorang anggotanya keluar, akan terasa pincang namun ia tidak berlaku kepda Ariz, One dan Ameerais.

Forteen menegaskan, mereka tidak berdepan sebarang masalah dengan ketiadaan Izzue malah single terbaharu berjudul Diam Saja menjadi bukti.

Mengulas lanjut usaha mereka menghasilkan Diam Saja, Ariz berkata, ia sudah pun diedarkan di semua platform digital.

Jelas Ariz, Forteen masih sama seperti dahulu dan kalau pun ada perbezaan mungkin dari sudut tenaga.

“Kalau berempat menyanyi sudah tentulah tenaganya lebih. Bagaimanapun, bertiga tidak semestinya lemah sebaliknya semangat kami tetap seperti berempat dahulu.

“Kami langsung tidak berasa janggal tampil bertiga menerusi single Diam Saja kerana sebelum ini ada persembahan cuma kami sahaja yang beraksi kerana Izzue ada komitmen lain.

“Pada waktu sama kami bertiga juga pernah mengadakan persembahan selama sebulan di Brunei. Ia menjadi medan untuk kami memantapkan kemampuan dalam mengadakan persembahan bertiga sahaja dan memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.

Soal sedih dengan keputusan Izzue meninggalkan Forteen, One berkata, apa yang berlaku itu dia dan dua lagi anggota kumpulan harus menerimanya dengan hati terbuka.

“Kami perlu kuat supaya boleh meneruskan perjuangan. Pada masa akan datang, masing-masing harus berusaha untuk membina kerjaya dan cari makan,” katanya.

Enggan tukar nama

Ditanya mengapa tidak tampil dengan nama dan imej baharu, Forteen berkata, baik dikekalkan sahaja apa yang ada malah mereka tidak bercadang mencari pengganti Izzue.

Kata One, walaupun nama Forteen membawa maksud untuk remaja, kumpulan itu masih relevan hingga kini.

“Lagipun susah sekiranya kami tukar nama kumpulan kerana banyak kerja yang harus dilaksanakan.

“Bayangkan kalau kami gunakan nama baru, akan ambil masa untuk peminat kenal. Seterusnya kami kena bermula dari bawah untuk memperkenalkan diri. Ia pasti makan masa yang lama dan menyusahkan untuk kami memacu kembara seni Forteen.

“Jika kami kekalkan nama Forteen, kami hanya perlu teruskan perjuangan seperti biasa. Mahu perkenalkan lagu baru pun mudah dan peluang untuk lagu itu diputarkan di radio pun lebih besar kerana mereka tahu kami sudah ada pengikut yang ramai,” katanya.

Sambung One, pihak pengurusan lama Forteen, KRU Music juga pernah menjelaskan kepada mereka bukan mudah ‘boyband’ bertahan lama dalam industri. Kalau lapan tahun, itu sudah cukup hebat.

“Belum ada ‘boyband’ Malaysia yang bertahan selama kami. Dan, disebabkan itu kami akan terus mempertahankan Forteen sampai bila-bila. Selagi peminat mahu kami menyanyi, Forteen akan terus ada,” katanya.

Berkongsi perancangan akan datang, One berkata mereka mahu melebarkan jenama Forteen dalam bidang penghasilan lagu dan pengurusan artis.

“Kalau boleh kami mahu gilap bakat baru dan mereka akan bernaung di bawah sayap Forteen. Namun, ia bukan dalam masa terdekat kerana banyak perkara yang perlu diuruskan untuk ke arah itu.

“Sekarang kami berjinak-jinak menghasilkan lagu. Lirik lagu Diam Saja kami hasilkan sendiri sebagai percubaan,” katanya.

Diam Saja berbeza

Bercerita mengenai Diam Saja, Ameerais berkata, ia berbeza dengan karya yang pernah dinyanyikan Forteen sewaktu bernaung di bawah KRU Music.

“Melodi yang dihasilkan Adam lebih segar dan terkini dari sudut bunyi serta susunan muziknya. Boleh dikatakan Forteen buat perubahan muzik 180 darjah,” katanya.

Tambah Ameerais lagi, Diam Saja diharap dapat memperlihatkan kematangan Forteen sebagai penghibur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 4:30 AM