Dayang Nurfaizah
Dayang Nurfaizah
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Selepas lima tahun, penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah kembali menggegarkan pentas Esplanade, Singapura menerusi Konsert Belagu yang akan berlangsung jam 8 malam pada 20 Mei depan. Menurut Dayang atau nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 42, dia juga tidak sabar untuk kembali beraksi di pentas Esplanade sekali gus mengubat kerinduan peminatnya di Singapura.

"Alhamdulillah, saya berasa terharu dan bersyukur kerana jualan tiket konsert Belagu yang mula dijual kepada orang ramai sejak 16 Mac lalu juga sudah 'sold out' (laris dijual).

"Konsert ini hanya satu malam saja dan pihak kami tidak akan menambah persembahan kepada dua malam," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai konsert itu, kata Dayang, persembahannya akan diiringi barisan 18 pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Aubrey Suwito.

"Ia berbeza dengan konsert Belagu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di mana persembahan saya bersama dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

"Manakala, konsert Belagu di Esplanade pula bersama dengan band tapi konsep persembahan masih sama iaitu mengangkat karya irama klasik yang masih segar.

"Seramai 1,500 peminat di Singapura akan turun untuk menyaksikan konsert saya di dewan Esplanade nanti," katanya.

Ditanya persiapan pula, kata Dayang, dia akan berlatih bersama dengan band di bawah pimpinan Aubrey selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Selain menjalani ibadah puasa, saya juga berlatih sendiri dulu sepanjang Ramadan ini.

"Saya akan menyampaikan rangkaian lagu dari album Belagu dan Belagu II, pastinya saya dan Aubrey mahu memberikan yang terbaik untuk peminat pada konsert Belagu di Singapura nanti," katanya.

Terdahulu, Dayang berjaya mengangkat karya irama klasik menerusi konsert Dayang Nurfaizah & MPO : Belagu yang berlangsung di DFP, KLCC pada 11 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 1:02 PM