Yassin Yahya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Yassin Yahya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: "Allahyarham Hamdan sempat berpesan kepada peminat Senarion supaya memaafkannya jika ada melakukan kesalahan," kata ahli kumpulan Senario, Yassin Yahya, 46.

Katanya pesanan terakhir itu disampaikan Hamdan atau nama sebenarnya Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 54, kepada ahli kumpulan Senario ketika makan malam sebelum dia ditidurkan akibat komplikasi buah pinggang di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, 31 Disember lalu.

Yassin Yahya, menyifatkan pemergian Hamdan berat untuk diterima kumpulan itu kerana banyak kenangan sepanjang 27 tahun bersama.

"Kenangan bersama yang tidak boleh dilupakan terlalu banyak, ada pahit manis semua ada. Cuma buat masa ini yang saya tidak boleh lupakan adalah pada malam terakhir kami semua berkumpul dan makan bersama-sama di sebuah restoran di Bandar Baru Uda (BBU).

"Abang Hamdan tiada tunjuk tanda tidak sihat, sebaliknya kami semua gembira kerana dapat berkumpul untuk melakukan persembahan dan beraksi pada malam tahun baharu.

"Kami kerap bertemu di media sosial sebelum dapat berjumpa secara fizikal pada Ahad lalu, dan duduk disebelahnya ketika makan malam.

"Tertulis suratan takdir, sebelum ditidurkan isterinya ada membuat panggilan video 10 minit sebelum persembahan bermula.

"Dia memaklumkan abang Hamdan mohon maaf kepada semua termasuk peminat dan ahli keluarga, dia dah mohon awal-awal jika ada salah silap dia, itu antara pesanan dia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

Menurut Yassin, dia bersama Saiful Apek dan beberapa kru Senario memilih untuk terus berada di Johor Bahru selepas selesai persembahan Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel di bandar raya ini pada malam tahun baharu, Ahad lalu.

"Berat hati untuk meninggalkan keluarga Hamdan yang sedang bersedih selain mereka tiada ahli keluarga lain di Johor.

"Lagipun saya tidak ada apa-apa rancangan di Kuala Lumpur ketika ini, jadi lebih baik tunggu di sini, tetapi tidak sangka pengakhirannya seperti ini.

"Kami sentiasa berdoa supaya abang Hamdan pulih seperti sedia kala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 4:52 PM