SYAMEL dan Ernie Zakri. FOTO NSTP
SYAMEL dan Ernie Zakri. FOTO NSTP
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Penyanyi, Ernie Zakri bersama tiga lagi komposer dan penulis lirik lagu Astana iaitu Omar K, Shazriq Azeman dan Syamel tidak teragak-agak untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM38) yang berlangsung esok.

Ernie berkata, sebagai komposer serta penyanyi lagu terbabit dia tidak menerima sebarang kenyataan rasmi daripada bekas syarikat rakamannya, Rocketfuel Entertainment untuk menggantikannya dengan Nadeera dalam pertandingan itu.

"Saya mendapat perkhabaran lagu ini dicalonkan di SFMM38 dan lagu ini juga mendapat penyanyi gantian apabila menggantikan saya sebagai penyanyi asal untuk lagu Astana.

"Ini adalah di luar pengetahuan saya sebagai penyanyi asal dan komposer. Saya tidak mendapat sebarang emel atau surat rasmi daripada mereka.

"Jika perkara ini berterusan saya dan tiga komposer lain berhak tarik diri daripada menyertai SFMM38," katanya dalam satu hantaran video di Instagram, hari ini.

Terdahulu, pengumuman Nadeera sebagai pengganti Ernie menerusi lagu Astana mengejutkan ramai pihak terutama dalam kalangan peminat dan Ernie sendiri.

Bagaimanapun, Rocketfuel dalam satu perkongsian menjelaskan keputusan terbabit dicapai atas persetujuan Ernie yang memutuskan untuk tidak menyanyikan lagu terbabit.

Tidak berhenti di situ, Ernie tampil menafikan kenyataan yang dikeluarkan bekas syarikat rakamannya itu apabila mengatakan dia enggan menyanyikan lagu itu.

Ernie yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music berkata, apa yang menjadi halangan untuk mempersembahkan lagu itu disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Media Prima Berhad (MPB).

Dalam pada itu, Ernie menzahirkan rasa terima kasih kepada MPB dan juga produksi Anugerah Juara Lagu kerana memberi peluang kepada lagu Astana bertanding di SFMM38.

Isteri kepada penyanyi Syamel itu turut berterima kasih kepada peminat yang tidak putus memberikan sokongan dan mengundi lagu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 8:57 PM