Kaka Azraff
Kaka Azraff
Georgie Joseph


Kuala Lumpur : Syarikat rakaman, Warner Music mengesahkan mengenai dakwaan penamatan kontrak penyanyi, Kaka Azraff berikutan kelantangannya mengenai isu Palestin.

Warner Music dalam satu kenyataan berkata, mereka sentiasa menyokong hak kebebasan bersuara dalam kalangan artis naungannya, tetapi keputusan harus dibuat berhubung tindakan Kaka itu.

"Kaka adalah seorang artis yang sangat berbakat, tetapi malangnya kami terpaksa berpisah dengannya disebabkan penggunaan bahasa tertentu dalam mesej langsung (DM) yang dipaparkan dalam talian.

"Walaupun kami dengan teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara oleh artis di bawah naungan kami, namun sesiapa yang bertindak dengan cara sedemikian, tanpa mengira kumpulan, bangsa atau agama, kami akan turut membuat keputusan yang sama," katanya tanpa menyatakan bila tarikh kontrak itu ditamatkan.

Tangkap layar komen Kaka di Instagram yang mengecam Israel.
Tangkap layar komen Kaka di Instagram yang mengecam Israel.

Baru-baru ini, Kaka didakwa bakal digugurkan daripada kontrak sehingga 31 Disember ini dan dia meminta diberikan masa sebelum dapat mengeluarkan sebarang kenyataan.

Menurut sumber, kontrak antara penyanyi terbabit dengan Warner Music sepatutnya berakhir pada April 2024.

Terdahulu, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 34, mengirim mesej langsung (DM) mengecam pempengaruh dan pelakon Australia yang pro-Israel, Nathaniel Buzolic.

Profilnya kemudian dikongsi sebuah laman sosial di bawah nama Jew Hate Database yang turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 4:32 PM