KAKA Azraff pada Program bual bicara Menangani Krisis Membina Reputasi anjuran pelajar ijazah sarjana di UKM hari ini. FOTO Rohanis Shukri
KAKA Azraff pada Program bual bicara Menangani Krisis Membina Reputasi anjuran pelajar ijazah sarjana di UKM hari ini. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


Bangi: Penyanyi Kaka Azraff, 35, mengakui sudah 'move on' daripada episod hitam ditamatkan kontrak oleh syarikat rakaman pada tahun lalu dan kini meneruskan karier nyanyiannya dengan bergerak sendiri.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff ditemui berkata, walaupun pada awalnya dia kurang keyakinan diri, namun semangatnya melonjak apabila mendapat sokongan positif daripada pelbagai pihak.

"Alhamdulillah, sekarang saya semakin yakin untuk bergerak sendiri dalam karier nyanyian walaupun tidak lagi dinaungi syarikat rakaman dan rezeki tawaran menyanyi pun tidak putus diterima.

"Saya juga mendapat banyak peluang untuk meluaskan karier seni sejak bergerak sendiri, antaranya merancang untuk menerbitkan album penuh kerana selama 12 tahun tahun dalam industri, saya masih belum ada album," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Kaka hadir membuat persembahan pada Program Bual Bicara: Menangani Krisis, Membina Reputasi anjuran Pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), di sini, hari ini.

Ditanya juga sejauh mana ibu saudaranya, Ella memberi sokongan selepas apa yang berlaku, Kaka berkata, ratu rock itu sangat menyokong tindakannya dan yakin dia boleh bergerak sendiri.

"Ella sangat menyokong saya dan katanya, tak mengapa teruskan usaha. Jadi, sekarang memang saya sangat bersemangat dalam menguruskan karier seni," katanya mengakui ada terima tawaran daripada syarikat rakaman lain.

Dalam pada itu, Kaka bersyukur apabila Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sudi menerima kunjungannya bagi membincangkan mengenai hala tuju dalam karier muziknya.

"Pertemuan itu bagi mendapatkan nasihat atas apa yang sudah berlaku. Jadi, saya amat bersyukur dan gembira sebab tahu saya tidak keseorangan berhadapan situasi berkenaan. 

"Menteri cuma mahu dengar daripada pihak saya apa yang terjadi dan selebihnya mengenai apa yang saya perlu lakukan dalam karier pada masa akan datang," katanya.

Pertemuan Kaka dengan Fahmi adalah rentetan daripada isu penamatan kontraknya bersama Warner Music Malaysia pada 1 Disember tahun lalu gara-gara didakwa terlalu lantang mengecam tindakan tidak berperikemanusian dilakukan Israel terhadap Palestin.

Kemelut Kaka bersama syarikat rakaman itu difahamkan tercetus apabila dia menulis komen secara mesej langsung (DM) kepada pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic dengan mengecam perkongsian lelaki itu dalam Instagram Story (IGs).

Gara-gara komen Kaka terhadap pempengaruh berkenaan menyebabkan laman sosial, Jew Hate Database turut menyenaraikan nama penyanyi lagu Bawaku Pergi itu sebagai antisemitik.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 6:21 PM