LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Laman sosial syarikat rakaman Warner Music Malaysia diserang netizen rentetan spekulasi penamatan kontrak penyanyi, Kaka Azraff akibat lantang memperjuangkan Palestin.

Netizen sepakat memohon orang ramai memboikot syarikat rakaman yang disifatkan pro-Israel itu selain mendesak anak syarikat kepada Warner Music Group yang ditubuhkan pada 1978 menutup operasi mereka di negara ini.

Setiap perkongsian syarikat rakaman antarabangsa itu dibanjiri kemarahan peminat. Bukan hanya meminta pihak berkenaan keluar dari negara ini, malah ada dalam kalangan netizen meminta lesen syarikat itu segera ditamatkan.

Terdahulu, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 34, mengirim mesej langsung (DM) mengecam pempengaruh dan pelakon Australia yang pro-Israel, Nathaniel Buzolic.

Tindakannya meraih perhatian pempengaruh popular itu apabila memuatnaik semula tangkap layar butiran mesejnya.

Gara-gara kenyataan itu, bukan hanya pempengaruh terbabit, satu laman sosial di bawah nama Jew Hate Database turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.

Laman Instagram yang ditubuhkan bagi mendedahkan individu serta selebriti pro-Palestin untuk dimalukan turut berkempen menjatuhkan Kaka dengan berkongsi maklumat dirinya.

Dalam perkongsian mereka, Kaka disifatkan sebagai 'pembenci Yahudi' dan pada hantaran sama turut didedahkan adalah identitinya sebagai artis yang bernaung di bawah Warner Music Malaysia.

Terdahulu, Warner Music Group memuat naik hantaran Instagram menyatakan sokongan terhadap Israel selain turut melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas pada 13 Oktober lalu.

Sementara itu, sehingga kini Kaka yang didakwa bakal digugurkan daripada kontrak sehingga 31 Disember ini meminta diberikan masa sebelum dapat mengeluarkan sebarang kenyataan.

Menurut sumber, kontrak antara penyanyi terbabit dengan Warner Music Malaysia sepatutnya berakhir pada April 2024.

Warner Music Malaysia juga tidak memberikan sebarang pengesahan berhubung spekulasi yang tersebar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 3:39 PM