Zizan Razak. Foto Ihsan Instagram ZizanRazak
Zizan Razak. Foto Ihsan Instagram ZizanRazak
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon dan pelawak, Zizan Razak, 39, menyifatkan tindakan penyanyi Kaka Azraff yang lantang bersuara mengenai isu pergolakan yang berlaku di antara Palestin dan Israel wajar dipuji, namun perlu ada strategi.

Pemilik nama sebenar, Mohd Razizan Abdul Razak ini ditemui berkata, baginya setiap individu harus ada cara tersendiri dalam menunjukkan solidariti mereka terhadap Palestin serta mengingatkan agar fikir dulu risiko akan dihadapi.

"Pada saya strategi itu terletak pada tangan kita, kalau kita nak perjuangkan sesuatu itu dalam rumah orang lain yang bukan hak milik sendiri, kita harus berjaga-jaga.

"Kena fikir sama ada perlu lantang bersuara atau tidak, namun jangan sampai merosakkan kerjaya kita. Tapi, Allah tahu niat baik kita dan Dia juga tahu kepada siapa yang kita mahu tujukan.

"Bagaimanapun, saya tetap memuji tindakan Kaka yang lantang bersuara," katanya ketika ditemui pada sidang media Masked Singer Malaysia musim keempat yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota, petang tadi.

Zizan berkata, dia bagaimanapun lebih selesa untuk tidak mempertontonkan semangat solidariti yang dilakukannya kepada umum.

"Saya pun berjihad, tapi saya tidak gemar untuk menguar-uarkannya kepada umum. Saya dah jalankan tanggungjawab yang patut dilakukan, dan bagi saya itu sudah cukup.

"Cuma, apabila saya mendengar cerita yang berlaku kepada Kaka ini, saya rasa kasihan padanya. Tapi, rezeki milik Allah dan kalau Kaka rasa itu terbaik untuk dia, terpulanglah," katanya.

Terdahulu, Kaka mendapat kecaman oleh netizen Israel gara-gara tindakannya menyerang seorang pempengaruh juga pelakon Australia, Nathaniel Buzolic yang menyokong rejim Zionis itu.

Justeru, tindakan berani dan lantang daripada Kaka itu menyebabkan profil dirinya dipamerkan dalam perkongsian Instagram, Jew Hater.

Tindakan Kaka difahamkan turut mendorong pihak Warner Music mengumumkan bahawa kontrak penyanyi itu bersama syarikat rakaman terbabit dibatalkan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 8:39 PM