Search
Search
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Selepas empat lokasi iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Singapura dan Kuantan, kumpulan rock legenda, Search akan tampil menerusi Konsert Search Voyage of Asia di Educity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor, malam esok.

Konsert sempena 'Hari Rock Negara Edisi Selatan' ini membawa makna tersendiri buat pemain gitar, Din (Noordin Mohd Taib), Kid (Hamzah Mohd Taib) dan pemain bass, Yantoi (Amran Marsiman) apabila diibaratkan balik kampung buat mereka yang berasal dari negeri itu.

"Kami sudah lengkapkan beberapa siri konsert dan yang terakhir di Kuantan, Pahang baru-baru ini. Kali ini kami teruja apabila berpeluang beraksi di negeri sendiri.

"Pastinya ada kelainan yang bakal ditampilkan dari segi pemilihan lagu untuk dipersembahkan termasuk menjanjikan persembahan terbaik untuk kepuasan warga Johor yang merindui lagu malar segar Search.

"Mungkin tidak banyak sangat perubahan dari konsert sebelum ini tapi masih ada kelainan. Cuma saya boleh katakan ia lebih mesra peminat. Kami akan kekalkan situasi sama ketika menjayakan konsert sebelum ini.

"Disebabkan beraksi di negeri asal, mungkin 'nakal' itu akan lebih sikit. Kami mahu peminat puas hati dengan persembahan yang bakal ditampilkan. Dari segi sistem bunyian dan sebagainya, kami akan pastikan berada dalam keadaan terbaik," kata Din.

Selain mereka, Search turut menampilkan Denden sebagai vokalis dan Minn sebagai pemain dram.

"Kami dah buat persiapan secukupnya dan bersedia untuk menghiburkan peminat nanti. Syukur juga keadaan kesihatan kami terutamanya Denden berada pada tahap terbaik.

"Diharapkan kami dapat berikan persembahan yang akan meninggalkan kenangan buat semua yang hadir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 4:48 PM