SHUIB
SHUIB
Nuraliawati Sabri


Masjid Tanah : Isu kelewatan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) syarikat minuman Bubble Bee milik pelawak popular, Shuib, 39, sudah selesai.

Shuib berkata, pihaknya sudah berhubung dengan KWSP bagi pembayaran secara ansuran selain kira-kira 300 pekerjanya juga sudah dimaklumkan mengenai hal itu.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkata, selaku individu yang menguruskan Bubble Bee, dia bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah itu.

"Mengenai isu KWSP yang tular baru-baru ini, semuanya saya ambil sebagai 'wake up call' dan satu pengajaran kepada Bubble Bee tetapi dalam masa sama kita sangat komited serta positif.

"Maksudnya, segala permasalahan mengenai KWSP sudah selesai. Pekerja sudah mendapat memo dan kiriman e-mel selain sedia faham mengenai status (pembayaran) KWSP," katanya dalam sidang media selepas perasmian outlet baharu Bubble Bee cawangan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Menurut Shuib, walaupun isu itu memberi tekanan kepada dirinya, namun dia tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bertindak menularkan isu itu.

"Ini satu 'tembakan' buat diri ini, tetapi saya ambil positif kerana dalam kehidupan kalau tidak dicuit tidak perasan.

"Bukan untuk cari salah tetapi kita hendak bersua atau berdepan dan selesaikan dengan cara baik. Jika ada masalah, cerita dengan baik dan saya akan bertanggungjawab.

"Kita ada ramai pekerja tetapi disebabkan dua, tiga orang ini buatkan yang lain tidak yakin. Untuk (tindakan) saman tidak, tidak baik kerana saya anggap ini teguran berhemah dan bermanfaat," katanya.

Mengulas mengenai kedudukan kewangan Bubble Bee yang dikatakan berdepan masalah, Shuib yang juga penyampai radio berkata, dengan sokongan pelbagai pihak syarikat minumannya berada dalam keadaan stabil dan kini dalam proses penukaran konsep baharu di semua 45 cawangan di Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 3:38 PM