PERSEMBAHAN Search meleraikan kerinduan peminatmereka di Singapura. FOTO Ihsan Shah Puravida
PERSEMBAHAN Search meleraikan kerinduan peminatmereka di Singapura. FOTO Ihsan Shah Puravida
Ridzuan Abdul Rahman


Populariti kumpulan Search yang sudah 10 tahun tidak menjejakkan kaki ke Singapura serta nama hebat lain seperti Ella, Gersang dan Majesty ternyata menjadi penarik terhadap Rock Klasik In Concert anjuran Rab International di Esplanade Concert Hall, Singapura yang berlangsung baru-baru ini.

Konsert rock pertama yang berlangsung di lokasi terbabit tahun ini rata-rata dipenuhi peminat muzik rock berusia 40-an ke atas.

Pengikut industri muzik di sana, Juressa Ong berkata, perasaannya sukar digambarkan apabila melihat lokasi ini bergema dengan sorakan dan jeritan peminat, sekali gus mengundang nostalgia seperti dulu.

AKSI tersendiri Din serta Denden, Yan dan Kid dalam Rock Klasik In Concert. FOTO ihsan Shah Puravida
AKSI tersendiri Din serta Denden, Yan dan Kid dalam Rock Klasik In Concert. FOTO ihsan Shah Puravida

"Memang teruja melihat peminat hadir memberikan sokongan padu tidak berbelah bahagi buat artis yang terbabit.

"Memandangkan ini kali pertama anggota Search, Din (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Firdaus (keyboard), Minn (dram) dan Denden (penyanyi) beraksi di Singapura, peminat seakan-akan tidak sabar menanti kemunculan mereka.

"Dapat dilihat peminat terima Search ini dengan tangan terbuka tanpa membandingkan dengan mana-mana pihak," katanya.

Persembahan Search turut dikongsi menerusi Facebook Ozimizi Ghani dan sehingga kini mendapat lebih 31,000 tontonan.

AKSI Ella dengan Lord Lokman.
AKSI Ella dengan Lord Lokman.

Menurut Juressa, sepanjang persembahan Search, peminat turut sama menyanyi menerusi lagu yang ditampilkan antaranya Teguh dan Pawana.

"Terasa sangat nostalgia dan mengembalikan kegemilangan rock seperti dulu-dulu. Semua terhibur dengan persembahan mereka.

"Tidak terkecuali, kumpulan Gersang juga seperti Search apabila memberikan persembahan terbaik malam itu. Penyanyinya, Man Bai adalah penghibur hebat apabila bijak berkomunikasi dengan peminat. Mungkin mereka boleh tampil secara solo pula selepas ini di Singapura," katanya.

Juressa berkata, persembahan Ella dan Majesty turut menambah bahang kehangatan konsert yang memakan masa empat jam.

"Persembahan mereka juga 'menggigit' dan malam itu benar-benar malam rock yang mengembalikan era kegemilangan rock seperti di tahun 1990-an.

"Ella seperti biasa tampil dengan vokal mantap yang ditunggu peminat. Tenaganya sangat hebat jika dibandingkan dengan usianya. Kejutan turut dibuat apabila dia mengundang Lord Lokman yang juga bekas anggota The Boys mengiringi persembahannya.

MAN Bai bijak berkomunikasi dengan peminat.
MAN Bai bijak berkomunikasi dengan peminat.

"Majesty pula adalah gabungan pemuzik dari bekas kumpulan rock Singapura era 90-an seperti Helter Skelter, Rockers dan Raven. Penyanyinya, Hanafie Warren asalnya vokalis The Unwanted," katanya.

Majesty turut menampilkan Fuad Rahman dalam persembahan, sekali gus memantapkan penampilan mereka.

Difahamkan Search dijadualkan kembali semula ke Singapura untuk beraksi dalam konsert solo Disember depan.

Aksi menarik persembahan artis boleh ditonton menerusi YouTube RAB International.

MAJESTY tampil dengan pemuzik otai.
MAJESTY tampil dengan pemuzik otai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 6:30 AM